Fabinho mengalami kecederaan ligamen buku lali, tidak dapat bermain sehingga tahun hadapan

Liverpool kehilangan pemain tengah defensif mereka, Fabinho akibat kecederaan ligamen buku lali yang dialami pada pertengahan minggu ini.

Pemain Brazil itu mengalami ketika bermain dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Napoli di Anfield.

Pada minit ke-18, dia tersilap langkah semasa mendarat selepas mencabar bola di udara dan terus terbaring sambil memegang buku lalinya.

Dia dilihat terpaksa memakai protective boot selepas tamat perlawanan, yang berkesudahan seri 1-1.

Fabinho telah menjadi nadi penting dalam skuad Jurgen Klopp

Kecederaan ini memberi tamparan hebat kepada Jurgen Klopp, kerana pasukannya akan menghadapi satu tempoh yang mencabar, apabila mereka dijadualkan bermain 14 perlawanan dalam masa 43 hari.

Kenyataan dari laman sesawang rasmi kelab: “Liverpool mengesahkan Fabinho telah mengalami kerosakan ligamen buku lali ketika beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Napoli pada pertengahan minggu ini.

“Pemain tengah ini perlu digantikan pada minit ke-18 perlawanan yang berakhir dengan 1-1 di Anfield pada malam Rabu selepas tersilap langkah semasa jatuh dari cabaran perebutan bola.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kecederaan tersebut telah mendapati Fabinho akan terlepas aksi sehingga awal tahun hadapan.

“Pemain Brazil ini akan memulakan program rehabilisasi bersama pasukan perubatan the Reds di Melwood di mana dia akan bekerja untuk kembali ke kecergasan penuh.”

Fabinho atau nama sebenarnya Fabio Henrique Tavares sudah bermain 19 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini untuk Liverpool, dan 60 perlawanan sejak menyertai Liverpool dari AS Monaco pada Julai 2018.

Dia kurang mendapat minit permainan di awal kariernya di Anfiled kerana masih menyesuaikan diri, namun telah meletakkan dirinya sebagai pemain kunci dalam kejayaan Liverpool musim lepas [menjuarai Liga Juara-Juara Eropah] dan kekentalan pasukan dalam saingan PL musim ini.

Liverpool masih belum tewas dalam PL musim ini selepas 13 perlawanan berlangsung.

Apabila bercakap mengenai kehilangan Fabinho dalam sidang media pada hari Jumaat, Klopp berkata: “Sudah tentu ianya berita buruk. Kami tidak dapat pastikan 100% tempoh masanya, tetapi dia tidak akan terlibat dalam perlawanan semasa Krismas.

“Kami boleh menggantikannya. Penting bagi dirinya sekarang untuk kembali semula. Kami akan mencari penyelesaiannya.

“Apabila saya berkata tiada pemain seperti dia [Fabinho]. Terdapat pemain-pemain yang mempunyai kualiti yang berbeza. Gini [Wijnaldum] dimasukkan dalam perlawanan [menentang Napoli] dan beraksi dengan baik.

[Jordan] Henderson telah bermain posisi tersebut dengan sangat baik. Fab mungkin tidak bermain kesemua perlawanan hingga bulan Mac. Kami sentiasa berhubung dengannya. Kami tidak berfikir, ‘macam mana nak mengatasinya?’. Mari kita teruskan.”

Liverpool akan menghadapi cabaran Brighton & Hove Albion dalam perlawanan PL hujung minggu ini di Anfield. Dan sudah pastinya tanpa Fabinho!

Be the first to comment