Peringatan kepada Unai Emery.

Masa Unai Emery bersama Arsenal bagaikan sudah berakhir.
Pengendali Arsenal, Unai Emery diberi peringatan tentang betapa kejamnya pengurusan Liga Perdana Inggeris dengan pemecatan Mauricio Pochettino oleh Spurs minggu ini.

Dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dia perlu segera memperbaiki prestasi pasukan jika tidak mahu menerima nasib yang sama sebagaimana bekas pengendali Spurs itu.

Skuad kendalian Emery akan bertemu Southampton di Emirates esok dengan kedudukan pengendali dari Sepanyol itu semakin tergugat selepas deretan keputusan mengecewakan yang menyaksikan Arsenal cuma memenangi dua kali dalam 10 perlawanan terakhir Liga Perdana.

Beliau dalam satu temubual turut mengulas mengenai isu pemecatan Pochettino yang disifatkan beliau amat mengejutkan.

“Bagi saya ia amat mengejutkan,” kata Emery berkenaan pemecatan Pochettino. “Saya rasa Tottenham beraksi baik dengan Pochettino.

“Mungkin keputusan terakhir, perlawanan terakhir, mereka tidak bermain atau mendapat keputusan yang baik, tetapi saya rasa secara keseluruhan beberapa tahun lalu bersama Pochettino cukup sempurna buat Spurs.”

Hubungan Emery dan penyokong Arsenal tidak sebaik Pochettino dan penyokong Spurs, dengan peminat di Emirates bukan saja tidak mendapat keputusan diharapkan tetapi juga hiburan dalam corak permainan pasukan.

Benteng pertahanan menjadi masalah besar buat Emery pada musim keduanya di Arsenal, tetapi kini masalah itu turut menular ke bahagian serangan.

Jentera serangan dibarisi Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette serta disokong Nicolas Pepe, Mesut Ozil pemain tengah yang dipinjam dari Real Madrid, Dani Ceballos seharusnya menjadi teras kekuatan skuad Emery.

Namun Arsenal sekadar meledak lima gol dalam enam penampilan terakhir liga yang meletakkan mereka sembilan mata di belakang kelompok empat teratas.

Aubameyang membuktikan kualtinya apabila meledak lapan gol liga, manakala pemain Arsenal lain yang meledak lebih daripada satu gol dalam saingan Liga Perdana musim ini ialah Lacazette dan bek tengah David Luiz.

Lacazette kemarau jaringan dalam enam perlawanan sejak pulih daripada kecederaan buku lali, tetapi kegagalan Pepe memberikan impak lebih merisaukan Arsenal.

Pemain Ivory Coast itu sekadar memanaskan bangku simpanan pada dua perlawanan terakhir sejak meledak gol tunggalnya menerusi sepakan penalti.

Dan menjelang jendela perpindahan kedua dibuka, Arsenal bergelut dengan masa depan beberapa pemain utama yang tidak lagi gembira bersama Emery dan mungkin meninggalkan Emirates pada pada Januari ini.

Malah, rundingan pembaharuan kontrak pemain sedia ada juga terbantut dan menemui jalan mati ketika ini.

Masa semakin suntuk buat Emery, sekiranya terus dirundum malang, bukan pemain yang angkat kaki, kemungkinan beliau sendiri terpaksa mengemas barang meninggalkan Utara London mengikuti jejak langkah Pochettino.

About MyGooners 865 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment