Tak dapat Daniele Rugani, Arsenal cuba dapatkan Merih Demiral dari Juventus

Arsenal dilaporkan sedang memantau perkembangan pemain pertahanan Juventus, Merih Demiral menjelang jendela perpindahan Januari akan datang.



Pemain kebangsaan Turki ini hanya bermain satu perlawanan sahaja musim ini sejak membuat perpindahan £16 juta dari Sassuolo pada musim panas lepas.

Walaupun jarang digunakan oleh Maurizzio Sarri, Demiral cemerlang bersama pasukan kebangsaannya dalam usaha untuk layak ke kejohanan EURO2020.

Negaranya kini berada di tempat pertama dalam kumpulan H, mengatasi juara Piala Dunia 2018, Perancis dalam pusingan kelayakan yang akan berakhir pada minggu ini.

PROFIL RINGKAS
Nama: Merih Demiral
Tarikh & Tempat Lahir: 5 Mac 1998 di Kocaeli, Turki
Posisi: Pertahanan tengah
Warganegara: Turki
Ketinggian: 1.90m
Kelab sekarang: Juventus
Kelab-kelab lama: Sporting Lisbon, Alanyaspor, Sassuolo

Arsenal sudah mempunyai enam pemain pertahanan tengah yang masih cergas (Sokratis, David Luiz, Rob Holding, Calum Chambers, Shkodran Mustafi, Dinos Mavropanos), tetapi mereka semua sangat rapuh musim ini, melepaskan 17 gol dalam 12 perlawanan pertama PL setakat ini.

Menurut laporan dari media Itali Calciomercato, Arsenal dan Atletico Madrid giat memerhati situasi pemain Turki ini.

Juventus mahu membuat untung daripada pemain ini kerana dia baru sahaja tiba di Turin musim ini, dan AC Milan sudah menyerah kalah dengan tanda harga £34 juta yang diletakkan Juventus.

Demiral dilaporkan terbuka untuk berpindah samada ke England atau Sepanyol, tetapi dia mahu duduk berbincang dengan pengurus kelab terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kehadiran pemain pertahanan tengah Belanda, Matthijs de Ligt telah menghadkan peluangnya untuk beraksi bersama skuad Juventus musim ini.
About barchunk 23 Articles
Just see Arsenal playing a beautiful game called Football. Suka minum kopi tanpa gula sambil membaca komik One Piece. Boom!!! Gollll dok staram!

Be the first to comment