Zlatan Ibrahimovic jadi pemilik bersama Hammarby

Zlatan Ibrahimovic mengesahkan langkah seterusnya dalam bolasepak, dengan menjadi pemilik bersama kelab liga utama Sweden, Hammarby.

Pemain berusia 38 tahun ini telah meninggalkan kelab Major League Soccer (MLS), LA Galaxy pada awal bulan ini. Dia melalui karier yang berjaya selama dua tahun di MLS di mana dia menjaringkan 53 gol dalam 58 penampilan.

Selepas Jose Mourinho menafikan perkhabaran Zlatan akan kembali ke Premier League dengan menyertai Tottenham, Ibrahimovic mengesahkan dia telah mengisi posisi pemilik kelab Hammarby, dengan mengatakan keputusan ini adalah sesuatu yang mengujakan dan seronok.

Pemain paling berjaya di Sweden ini kembali ke tanah airnya.

“Hammarby adalah sebuah kelab yang hebat, mempunyai penyokong yang bersemangat, dan dihormati di Stockholm dan Sweden,” kata Ibrahimovic.

“Saya sentiasa menyukai kelab ini dan peminatnya, dan saya tertarik dengan apa yang telah dilakukan oleh kelab sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di dalam dan luar padang.

“Saya rasa ianya seronok dan mengujakan kerana dapat menyertai dan membangunkan lagi Hammarby.

Walaupun telah menyertai badan pengarah, penjaring gol terbanyak Sweden ini masih belum boleh memberi kepastian samada ini adalah petanda karier bermainnya telah berakhir atau sebaliknya.

Kenyataan kelab Hammarby mengatakan: “Wakil kami (Hammarby) telah berjumpa dengan AEG dan Zlatan Ibrahimovic di Los Angeles minggu ini.”

“AEG telah memberitahu Hammarby bahawa mereka telah menjual separuh pemilikan AEG Sweden kepada Ibrahimovic, dan ini bermakna Ibrahimovic telah menjadi sebahagian pemilik Hammarby Fotboll AB.”

Pengerusi Hammarby, Richard von Yxkull juga sungguh teruja dengan penglibatan Zlatan.

“Kami merasakan kami melalui tempoh masa yang baik, mempunyai pembangunan yang baik dalam masa beberapa tahun ini, dan bermain di Eropah pada tahun hadapan,” katanya.

“Kemudian kemasukan seseorang seperti Zlatan Ibrahimovic, yang mempunyai semangat dan mentaliti untuk menang.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan dengan lebih terperinci bagaiman Zlatan boleh menyumbang kepada Hammarby, tetapi sudah pasti terdapat potensi yang besar untuk bekerjasama.”

Hammarby menamatkan liga utama Sweden (Allsvenskan) di tempat ketiga yang tamat pada awal November lalu, satu mata di belakang juara liga, Djurgardents IF.

Be the first to comment