Contengan pasca-perlawanan Standard Liege lawan Arsenal.

GW6 Group F Europa League 2019/20

Arsenal menjaringkan dua gol dalam masa dua minit untuk mengikat Standard Liege 2-2 di Belgium untuk mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan F.

Freddie Ljungberg membuat sembilan pertukaran pemain dari skuad yang bermain dalam perlawanan liga pada Selasa lepas, hanya Ainsley Maitland-Niles dan Sokratis Papastathopoulos kekal dalam kesebelasan utama menentang kelab Belgium ini.

Dia menggunakan formasi 3-4-3, meletakkan tiga pemain pertahanan tengah, dua pemain di posisi wingback, dan selebihnya mengisi posisi tengah, sayap, dan serangan.

Alexandre Lacazette memakai lilitan kapten di lengan, juga mengetuai barisan serangan the Gunners.

Konstantinos Mavropanos membuat penampilan skuad utama buat pertama kali musim ini, bergandingan bersama rakan senegaranya di posisi pertahanan tengah, Sokratis dan pemain pertahanan tengah veteran Brazil, David Luiz.

Mereka diapit oleh Maitland-Niles dan Bukayo Saka yang beroperasi di bahagian wingback kanan dan kiri.

Bukayo Saka

Mungkin formasi dan pemilihan pemain ini dibuat untuk melihat kebolehan pemain-pemain bermain dalam formasi yang berbeza.

Ianya juga mungkin untuk melihat pemain mana yang boleh digunakan dalam perlawanan-perlawanan akan datang menentang lawan yang berbeza taktikal dan pemain.

Pergerakan bola pada separuh masa pertama sangat perlahan dan pasif. Gandingan Matteo Guendouzi, Joe Willock, Reiss Nelson, dan Emile Smith Rowe di bahagian tengah tidak menghasilkan banyak pergerakan lebih menyerang dan pantas.

Kebanyakan hantaran bola pada separuh masa pertama hanyalah ke kiri, kanan dan ke belakang kepada rakan di bahagian pertahanan dan Emiliano Martinez (penjaga gol).

Jarang juga percubaan menggelecek daripada pemain kita untuk melepasi barisan pemain lawan yang pantas menutup ruang apabila bertahan.

Mungkin faktor permukaan padang juga menyebabkan pemain agak sukar mengawal, menghantar dan menerima bola dengan lebih baik seperti yang ditulis oleh Emi Martinez di dalam akaun twitternya.

Kita tetap dapat melancarkan beberapa percubaan tepat ke arah gol lawan namun percubaan Smith Rowe, Saka, dan Nelson berjaya diselamatkan oleh Arnaud Bodart.

Standard Liege yang diuruskan oleh Michel Preud’homme banyak melakukan pressing bagi memaksa pemain kita hilang fokus dan melakukan kesilapan.

Usaha mereka hampir berjaya apabila banyak hantaran bola keluar dari kawasan kotak penalti sendiri terus sampai ke kawalan pihak lawan, namun peluang terhidang bakal digunakan sebaiknya.

Faktor bermain di hadapan penyokong sendiri membuatkan mereka lebih bersemangat. Standard Liege hanya gagal menang dalam tiga dari 14 perlawanan di laman sendiri dalam semua kejohanan musim ini.

Tiada jaringan gol terhasil pada separuh masa pertama.

Kita melepaskan dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan pada separuh masa kedua.

Gol pertama terhasil pada minit ke-47 apabila rembatan Samuel Bastian tertampan di lengan Sokratis dan pergerakan bola tersebut mengelirukan Martinez yang telah tersilap langkah dan gagal menepis bola keluar sebelum mencecah gawang gol.

Gol kedua mereka lebih menyakitkan hati. Hantaran lintang rendah dari sebelah kiri sepatutnya mudah dikeluarkan oleh Willock, namun dia hanya menahan bola tersebut mengharapkan Guendouzi mengeluarkannya.

Dan loose ball tersebut dikutip oleh Amallah, sebelum membawa bola ke kaki kirinya sebelum merembat ke arah gol. Rembatannya itu terkena tangan Mavropanos dan membawa bola melepasi jangkauan Martinez menjadikan kedudukan 2-0 untuk Standard Liege.

Ljungberg membuat dua pertukaran selepas itu, memasukkan Calum Chambers dan Gabriel Martinelli menggantikan Sokratis dan Maitland-Niles.

Dari bermain tiga pemain pertahanan tengah dalam formasi 3-4-3, berubah kepada empat pemain pertahanan dalam formasi 4-5-1. Saka ditugaskan beraksi sebagai pemain bek kiri dalam formasi ini.

Dan usahanya itu berjaya, apabila Saka mendapat hantaran daripada Smith Rowe sebelum menghayun satu hantaran lintang cantik dan ditanduk tepat Lacazette untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Seminit berselang, Saka pula meletakkan namanya sebagai penjaring gol. Membawa bola dari sebelah kiri padang, bermain hantaran 1-2 dengan Martinelli sebelum membuat rembatan melencong ke bucu bawah kiri gawang gol lawan.

Kestabilan memainkan pemain yang bermain di posisi natural mereka menstabilkan taktikal the Gunners. Dan kita lebih mendominasi perlawanan bagi mencari gol kemenangan.

Tetapi seperti biasa, masih ada kekurangan dari kepantasan membuat keputusan yang betul dalam attacking ball movement ke arah gol lawan. Arsenal terikat seri 2-2 dalam perlawanan ini.

Satu lagi perlawanan kumpulan F di antara Eintracht Frankfurt lawan Vitoria Guimaraes berakhir dengan kemenangan kelab Portugal tersebut, keputusan akhir 3-2. Ini bermakna Arsenal menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara kumpulan.

Kelebihan menjadi juara kumpulan ialah dapat mengelak pertemuan awal menentang pasukan-pasukan yang ‘turun pangkat’ dari Liga Juara-Juara Eropah ke Europa League, setelah menduduki tempat ketiga dalam kumpulan masing-masing.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Walau bermain di luar posisi sebenarnya iaitu di bahagian sayap kiri, Saka tetap melakukan tugasnya dengan baik sebagai pemain wingback dan bek kiri sepanjang perlawanan.

Dia ternyata tidak begitu gembira apabila ditempatkan bermain di posisi tersebut, seperti yang diberitahu oleh Ljungberg kepada media selepas tamat perlawanan.

“Dia sangat bagus,” kata Ljungberg.

“Saya rasa dia bengang sedikit sebelum mula perlawanan kerana diletakkan bermain di posisi wing-back dan kemudian bek kiri! Sebab dia memang tidak suka [bermain di posisi-posisi itu].

“Tetapi, dia seorang pemain berbakat luar biasa dan anda boleh melihatnya lagi hari ini. Bola terakhirnya sentiasa efektif dan pasti ada hasil pada setiap kerjanya,” sambungnya lagi.

Statistik permainan Bukayo Saka lawan Standard Liege. Sumber: Squawka
RUMUSAN

Beberapa pemain sampingan dan muda Arsenal seharusnya menggunakan peluang yang jarang-jarang ada ini untuk bermain dengan lebih mudah dan tenang.

Elakkan kesilapan demi kesilapan dalam permainan dan kurangkan keraguan dalam membuat keputusan yang tepat. Perkara-perkara sebegini boleh mengacau tempo permainan.

Willock, Maitland-Niles, dan Mavropanos harus melihat kembali prestasi mereka dalam perlawanan ini dan perbaiki untuk kebaikan diri dan pasukan.

Apa-apa pun, Arsenal telah layak ke pusingan seterusnya. Undian pusingan kalah mati akan dilakukan pada Isnin hadapan di Nyon.

Congratulations Arsenal for progressing to next round! COYG!

Anda boleh menonton highlight perlawanan tadi di sini.

1 Trackback / Pingback

  1. Saka berang dengan Ljungberg. - Perkembangan Arsenal dan Bolasepak MyGooners