Contengan pra-perlawanan lawan West Ham United (GW16 PL 2019/20)

Penyokong Arsenal sekali lagi dihampakan dengan keputusan perlawanan menentang Brighton pada awal pagi Jumaat lepas (waktu Malaysia).

Tewas 1-2 kepada the Seagulls telah memanjangkan rekod tanpa kemenangan dalam semua kejohanan ke sembilan perlawanan.

Pengendali sementara the Gunners, Freddie Ljungberg mengakui para pemainnya kurang keyakinan diri dalam perlawanan tersebut.

Mesut Ozil

Jadi, apakah yang boleh dilakukan sekarang oleh Ljungberg. Per Mertesacker, dan para pemain dalam perlawanan menentang West Ham pada awal pagi Selasa (waktu Malaysia) nanti?

Sebelum itu, kita lihat dahulu prestasi West Ham dalam PL musim ini.

KEPUTUSAN LIMA PERLAWANAN PL TERAKHIR:

P11: Kalah 2-3 lawan Newcastle (H)
P12: Kalah 3-0 lawan Burnley (A)
P13: Kalah 2-3 lawan Tottenham Hotspur (H)
P14: Menang 1-0 lawan Chelsea (A)
P15: Kalah 2-0 lawan Wolverhampton Wanderers (A)

KEPUTUSAN SEMUA PERLAWANAN PL SETAKAT INI DI STADIUM LONDON:

P1: Kalah 0-5 lawan Manchester City
P4: Menang 2-0 lawan Norwich City
P6: Menang 2-0 lawan Manchester United
P8: Kalah 1-2 lawan Crystal Palace
P10: Seri 1-1 lawan Sheffield United
P11: Kalah 2-3 lawan Newcastle United
P13: Kalah 2-3 lawan Tottenham Hotspur

Kedudukan liga: 15

PADATKAN BAHAGIAN TENGAH PADANG

Dalam perlawanan menentang Brighton, gerakan hantaran bola Arsenal lebih menyerang dan pantas, namun kegagalan untuk menutup bahagian tengah telah menyebabkan Arsenal mudah diserang oleh pihak lawan.

Pemain tengah Arsenal dalam perlawanan itu iaitu Joe Willock, Granit Xhaka, Lucas Torreira dan Mesut Ozil juga gagal mengawal pergerakan pemain utama Brighton iaitu Aaron Mooy.

Jika mahu memastikan bola sentiasa bergerak lebih baik dan direct, bahagian tengah seharusnya padat, dan pemain sentiasa dekat untuk meminta bola, atau cekap bermain hantaran bola 1-2 untuk melepasi kepungan pemain lawan.

Andai terlalu lambat, maka senang pemain lawan memberikan tekanan, dan bola terpaksa dihantar kepada pemain pertahanan dan penjaga gol. Serangan Arsenal terhenti di takat itu sahaja.

Ljungberg sudah memastikan para pemainnya menghantar bola dengan lebih pantas dan tepat, seiring dengan gerakan serangan yang telah dipraktikkan pada sesi latihan.

Cuma perlukan sedikit lagi keyakinan untuk memastikan bola pantas hadir ke kawasan bahaya pihak lawan, dan dari situ berpeluang untuk menjaringkan gol-gol kemenangan.

GANDINGKAN CALUM CHAMBERS DAN ROB HOLDING DI PERTAHANAN TENGAH

Arsenal telah menggunakan lima pemain pertahanan tengah senior dalam semua perlawanan dalam semua kejohanan setakat ini.

Shkodran Mustafi, Rob Holding, Sokratis Papastathopoulos, Calum Chambers, dan David Luiz sudah bergandingan bersama dalam formasi dua dan tiga pemain pertahanan tengah.

Dinos Mavropanos masih belum berpeluang beraksi bersama skuad utama lagi musim ini.

Lapan gandingan telah dicuba dalam 22 perlawanan dalam semua kejohanan setakat ini, tetapi kita tetap gagal menghalang gawang dari dibocori pihak lawan.

Hanya lima cleansheet berjaya diraih dari semua perlawanan yang dimainkan dalam semua kejohanan setakat ini.

Ketiadaan Holding buat sementara waktu kerana masalah lutut sangat dirasai skuad Arsenal kini.

Dia menjadi pemain penting pada musim lepas, yang membantu the Gunners melakar 22 perlawanan tanpa tewas, namun segalanya berubah setelah dia mengalami kecederaan ACL ketika menentang Manchester United.

Andai Holding dapat kembali ke kecergasan penuh dan tahap sebenarnya, gandingannya dengan Chambers pasti memberikan hasil yang positif. Kita nantikan.

Buat masa ini, kita terpaksa bergelut dengan permainan tidak konsisten oleh pemain pertahanan tengah senior seperti Sokratis dan David Luiz.

GERAKAN SERANGAN LEBIH KONSISTEN DAN BERTALI ARUS

Kegagalan Arsenal menjaringkan lebih dari dua gol dalam 18 dari 22 perlawanan berpunca dari lambat penghantaran bola kepada barisan penyerang yang sentiasa bergerak mencari ruang kosong untuk memastikan mereka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

Alexandre Lacazette, Pierre-Emerick Aubameyang, Nicolas Pepe, dan Gabriel Martinelli sentiasa bergerak dan bertukar posisi semasa bermain bersama bagi mencari ruang selesa untuk menghasilkan gol.

Kelembapan gerakan hantaran ke atas secara berterusan terutama di era Unai Emery menjadi punca masalah jaringan gol ini.

Andai percubaan demi percubaan dilakukan secara berterusan, sudah pasti pihak lawan akan hilang fokus dan tersilap langkah.

Malangnya, pihak lawan kita yang sibuk mengasak bertali-arus sehingga menyebabkan kita banyak bolos gol.

Dah la malu nak jaringkan gol, banyak bolos pula. Ini perlu diubah.

Nicolas Pepe
RAMALAN KESEBELASAN UTAMA DAN FORMASI

Senarai kesebelasan utama: Bernd Leno, Kieran Tierney, Hector Bellerin, David Luiz, Calum Chambers, Granit Xhaka, Matteo Guendouzi, Lucas Torreira, Mesut Ozil, Nicolas Pepe, Pierre-Emerick Aubameyang.

Bangku simpanan: Emi Martinez, Sead Kolasinac, Shkhodran Mustafi, Joe Willock, Ainsley Maitland-Niles, Gabriel Martinelli, Alexandre Lacazette

Formasi: 4-1-4-1 (1 pemain tengah defensif, 1 penyerang utama)

Semoga Ljungberg berjaya memberikan kata-kata motivasi untuk menaikkan semangat dan keyakinan para pemain Arsenal menjelang pertemuan menentang West Ham ini.

Hanya satu kemenangan boleh menjadi satu langkah ke arah sinar yang lebih cerah pada baki musim ini.

COYG! All the best Arsenal!

Be the first to comment