Fabio Cannavaro menanti peluang menjadi pengurus kelab di Itali

Pemenang Ballon d’Or 2006, Fabio Cannavaro tidak menafikan dirinya mahu kembali ke Itali sebagai seorang pengurus kelab pada masa akan datang.

Bekas kapten skuad Itali yang menjuarai Piala Dunia 2006 ini memulakan karier pengurusannya di luar Eropah iaitu di China, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.

Kini, dia merupakan pengurus kelab Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande, dan dia baru sahaja mengetuai kelab tersebut menjuarai CSL pada hujung minggu lepas, kali kelapan dalam tempoh sembilan tahun.

Cannavaro juga membantu kelab tersebut mara ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Asia tahun ini, namun tewas kepada kelab Jepun, Urawa Reds.

Tetapi, masa depannya bersama kelab masih samar-samar selepas dia telah digantung tugas selama tiga bulan kerana ‘tidak mematuhi etika China’ sebelum kembali semula untuk membantu kelab menjuarai liga pada perlawanan terakhir, kelebihan dua mata mengatasi pasukan tempat kedua, Beijing Sinobo Guoan.

Fabio Cannavaro meraikan kejayaan menjuarai CSL musim 2019 bersama Guangzhou Evergrande

“Objektif utama kami adalah untuk membantu pemain muda kami berkembang dan memenangi semuanya,” kata pengurus berusia 45 tahun itu kepada Gazzetta dello Sport.

“Saya mempunyai kontrak tiga tahun di sini, tetapi bagus juga suatu hari nanti untuk kembali ke Itali sebagai pengurus. Tetapi, saya sudah lihat ramai bekas rakan sepasukan dan kawan saya bergelut sebagai jurulatih di sana.”

Bekas pemain pertahanan tengah Real Madrid dan Juventus ini kini dalam tempoh keduanya bersama kelab China tersebut, mengambil alih tugasan Marcelo Lippi yang telah meninggalkan kelab pada 2017.

Kali pertama Cannavaro mengendalikan Evergrande adalah pada November 2014 hingga Jun 2015.

Dia berjaya mencatat 54 menang, 15 seri, 17 kalah dalam 86 perlawanan bersama Evergrande setakat ini.

Be the first to comment