Gervinho tambah derita Napoli

Masalah Napoli masih berlarutan selepas tewas 1-2 kepada Parma semalam, bermaksud mereka gagal untuk menang lapan perlawanan liga terakhir mereka.

Gennaro Gattuso terpaksa menahan perit tewas dalam perlawanan debut bersama Napoli di laman sendiri.

Dia menggantikan Carlo Ancelotti, bekas pengurusnya semasa dia masih bermain bersama AC Milan, yang dipecat berikutan siri keputusan perlawanan yang tidak memberangsangkan.

Tambahan lagi, hubungan tidak baik antara Ancelotti dengan pemilik kelab dan para pemainnya telah menyebabkannya kehilangan kerja sebagai pengurus kelab Naples ini.

Gennaro Gattuso

Bekas pemain Arsenal, Gervinho meranapkan hari Gattuso dengan menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua di kala Napoli meningkatkan serangan bagi mencari gol kemenangan ketika perlawanan masih terikat seri 1-1.

Dia menyertai Parma dari kelab China, Hebei China Fortune tahun lepas. Parma juga merupakan kelab Serie A Itali keduanya, selepas AS Roma, berpindah dari Arsenal dengan yuran perpindahan €8 juta pada 2013.

KARIER GERVINHO DI ARSENAL (2011/12 – 2012/13)
Gervinho ketika mewakili Arsenal 2011/12 – 2012/13

Jumlah penampilan: 63
Debut Arsenal: 13 Ogos 2011 (seri 0-0)
Jumlah gol: 11
Jumlah assist: 12
Gol pertama kelab: lawan Blackburn Rovers (17 September 2011. Menang 3-1)

Rakan serangan Gervinho, Dejan Kulusevski menjaringkan gol pertama perlawanan seawal minit ke-2, menghukum kecuaian Kalidou Koulibaly mengawal hantaran bola rakannya dengan baik.

Dia merampas bola tersebut sebelum memecut masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola melepasi penjaga gol Napoli, Alex Meret.

Napoli berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi penyerang antarabangsa Poland, Arkadiusz Milik menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Dries Mertens.

Gattuso memasukkan Hirving Lozano dalam usaha mencari gol kemenangan, namun taktikalnya dihukum dengan serangan balas Parma pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Gervinho, atau nama penuhnya Gervais Lombe Yao Kouassi mengawal bola yang dikeluarkan rakannya dari sepakan sudut, sebelum membawanya pantas ke kawasan lawan sambil menahan asakan pemain lawan.

Dia bertukar hantaran bola dengan Kulusevski sebelum menolak mudah gol kemenangan melepasi Meret.

Kekalahan ini bermakna Napoli gagal untuk mencatat kemenangan dalam empat perlawanan Serie A di laman sendiri berturut-turut, pertama kali sejak Mac 2010.

Gol Gervinho dalam perlawanan ini merupakan gol keenamnya musim ini dan secara keseluruhan sudah menjaringkan 17 gol dalam 46 penampilan bersama Parma setakat ini dalam semua pertandingan.

Be the first to comment