Hansi Flick kekal menjadi pengendali Bayern Munich sehingga hujung musim ini

Hansi Flick

Pengendali sementara skuad utama Bayern Munich, Hansi Flick berjaya meyakinkan pihak atasan kelab untuk mengekalkan posisinya sehingga hujung musim ini.

Dia mengambil alih tugasan tersebut selepas Niko Kovac dipecat selepas tewas 1-5 kepada Eintracht Frankfurt bulan lepas.

Kekalahan tersebut hanyalah kekalahan ketiganya dari 16 perlawanan bersama Bayern pada musim ini.

Pada asalnya, Flick hanya dilantik untuk mengendalikan dua perlawanan pertamanya iaitu menentang Olympiakos (Liga Juara-Juara Eropah), dan Borussia Dortmund (Bundesliga).

Dia berjaya mencatat kemenangan dalam kedua-dua perlawanan ini, dan khidmatnya dilanjutkan.

Bayern hanya tewas dua dari lapan perlawanan seterusnya.

Selepas menang 2-0 ke atas VfL Wolfsburg dalam perlawanan terakhir liga sebelum rehat musim sejuk pada Sabtu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge dan Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic bersetuju untuk mengekalkan posisi Flick.

Keputusan perlawanan Bayern Munich sejak Hansi Flick menjadi pengendali sementara kelab

  • 6 November 2019: Menang 2-0 lawan Olympiakos (H)
  • 9 November 2019: Menang 4-0 lawan Borussia Dortmund (H)
  • 23 November 2019: Menang 4-0 lawan Fortuna Dusseldorf (A)
  • 26 November 2019: Menang 6-0 lawan Red Star Belgrade (A)
  • 30 November 2019: Kalah 1-2 kepada Bayer Leverkusen (H)
  • 7 Disember 2019: Kalah 1-2 kepada Borussia Monchengladbach (A)
  • 11 Disember 2019: Menang 3-1 lawan Tottenham Hotspur (H)
  • 14 Disember 2019: Menang 6-1 lawan Werder Bremen (H)
  • 18 Disember 2019: Menang 3-1 lawan SC Freiburg (A)
  • 21 Disember 2019: Menang 2-0 lawan Wolfsburg (H)

“Sejak beliau dilantik menjadi ketua jurulatih, perkembangan di atas padang sangat menakjubkan, dari segi kualiti permainan kami dan keputusan perlawanan yang dicapai,” kata Rummenigge.

“Kami mencipta rekod baru dalam sejarah 28 tahun Liga Juara-Juara Eropah, mencatat enam kemenangan dalam enam perlawanan peringkat kumpulan, dan berjaya merapatkan kedudukan di puncak Bundesliga.

Bayern kini berada di kedudukan ketiga Bundesliga, empat mata di belakang pendahulu liga RB Leipzig sebelum rehat pertengahan musim.

Dan telah diundi menentang Chelsea dalam pusingan 16 pasukan terakhir UCL, yang akan berlangsung pada Februari 2020.

Hansi Flick (dua dari kanan) merupakan pembantu Joachim Low dalam skuad Jerman yang menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil

“Saya sangat gembira kerana FC Bayern terus mempercayai diri saya untuk menjadi ketua jurulatih,” kata Flick.

“Kami tengah memulihkan tenaga kami, dan membuat persiapan lebih rapi di kem latihan untuk menghadapi separuh musim kedua nanti.

“Kami mahu cuba mencapai seberapa banyak kemenangan dan kejuaraan yang mungkin.”

Be the first to comment