Laporan Perlawanan: Arsenal U23 (3) – (1) Blackburn Rovers U23

Skuad bawah 23 Arsenal naik ke tangga teratas Premier League 2 setelah menewaskan Blackburn Rovers 3-1 di Meadow Park awal pagi tadi.

PREMIER LEAGUE 2
Arsenal U23 (3) – (1) Blackburn Rovers U23
6 Disember 2019
Meadow Park

Penjaring gol: Nathan Coyle 23′, Zech Medley 26′, Tyreece John-Jules 37′

Senarai kesebelasan utama: Matt Macey (GK), Zak Swanson ▼’71 , Zech Medley, Dinos Mavropanos, Tobi Omole ▼‘63, , Matt Smith, Robbie Burton (C), Emile Smith Rowe ▼’63, , Nathan Tormey, Tyreece John-Jules, Trae Coyle

Simpanan: Karl Hein (GK), Joseph Olowu ▲’71, James Olayinka ▲’63 , Mark McGuinness ▲’63, Jordan McEneff

Skuad Steve Bould hadir dalam perlawanan ini dengan rekod menang empat perlawanan terakhir mereka termasuk kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspur bulan lepas.

Emile Smith Rowe sekali lagi disenaraikan dalam skuad akademi, bermakna dia mungkin tidak akan disenaraikan dalam skuad utama menentang West Ham pada awal pagi Selasa (waktu Malaysia) nanti.

Kesemua gol Arsenal dijaringkan pada separuh masa pertama perlawanan.

Peluang pertama kita hadir dalam lima minit pertama apabila Nathan Tormey berlari dari bahagian sayap dan menyungkit bola kepada Robbie Burton, yang melihat rembatan volinya tersasar jauh dari gol.

Gol pertama dimulakan dengan Dinos Mavropanos menanduk bola tinggi ke arah Smith Rowe, yang mengawal bola tersebut dengan baik, sebelum meluru masuk ke dalam kotak penalti dan menghantar bola baik kepada Trae Coyle, yang tenang menolak masuk bola ke gawang gol lawan.

Kita menggandakan gol selang tiga minit kemudian berpunca dari sepakan sudut. Tyreece John-Jules telah menanduk bola hasil sepakan penjuru, namun percubaan sekadar terkena tiang, dan pemain pertahanan tinggi lampai, Zech Medley pantas menyambar bola lantunan tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tyreece John-Jules

Penyerang remaja berusia 18 tahun, John-Jules memastikan kita menamatkan separuh masa pertama dengan selesa apabila menjaringkan gol ketiga pasukan sembilan minit sebelum wisel separuh masa ditiupkan.

Rembatan derasnya dari dalam kotak penalti terlalu sukar untuk diselamatkan penjaga gol lawan, pasrah melihat bola menerjah jaring atas golnya.

Pasukan pelawat dapat menjaringkan gol sagu hati 10 minit sebelum tamat perlawanan, apabila Harry Chapman berjaya melepasi halangan sebelum merembat masuk melepasi jangkauan Matt Macey.

Beberapa lagi cubaan dilakukan oleh Smith Rowe, Coyle dan Tormey, namun setiap percubaan mereka gagal menepati sasaran.

Kemenangan ini melonjakkan skuad bawah 23 tahun Arsenal ke puncak liga selepas 12 perlawanan. Chelsea dan Derby County berada di tempat kedua dan ketiga liga tetapi mereka kurang satu dua perlawanan berbanding kita.

Be the first to comment