Liga Malaysia guna konsep La Liga.

Bulan lalu Malaysian Football League (MFL) telah menganjurkan bengkel ECP bagi persedian pasukan mengharungi saingan Liga Malaysia 2020.

Selain mengadakan bengkel tersebut, MFL juga mengumumkan rakan kongsi liga yang akan membantu mereka melaksanakan ECP yang turut digunapakai di La Liga.

Berikut adalah artikel penuh MFL berkenaan bengkel dan ECP serta pengenalan rakan kongsi Liga Malaysia.

Pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) terus mengorak langkah dalam memajukan industri liga tempatan ke arah lebih positif dengan mengadakan Bengkel Economic Control Programme (ECP) bersama Rakan Kongsi Liga di Hotel Tenera, Bangi hari ini.

MFL sebelum ini telah mengumumkan akan melaksanakan ECP secara berperingkat bermula hari ini (18 November) di mana program ini bertujuan untuk memastikan kewangan pasukan bola sepak Liga Super dan Liga Premier berada dalam keadaan lebih baik dan memiliki pendapatan yang mampan.

LaLiga adalah pengendali Liga Sepanyol yang pertama melaksanakan ECP dalam menyelesaikan masalah kewangan kelab dan kini ECP telah diadaptasi bersesuaian dengan acuan Liga Malaysia selaras dengan Rangka Tindakan Strategik Next50 MFL.

Menurut Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, peraturan baharu yang diperkenalkan pada musim Liga Malaysia 2020 ini adalah bagi memberikan tumpuan kepada aspek peraturan kewangan untuk mengawal dan mendidik pasukan berbelanja secara berhemah.

Tambah Datuk Haji Hamidin, ECP akan terus diperluaskan meliputi bidang lain antaranya peraturan pemilikan pemasaran dan kelab bermula tahun 2021 sehingga 2024.

“MFL telah melantik PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd (PwC) untuk membangunkan peraturan ECP MFL.

“PwC juga merupakan firma perunding yang dilantik oleh LaLiga untuk membangunkan peraturan ekonomi yang dipelopori di Sepanyol.

“Bengkel hari ini bertujuan untuk mendidik kelab-kelab mengenai Peraturan-Peraturan ECP musim 2020 untuk memastikan kelab bersedia bagi pelaksanaannya.

“Jadi saya optimis pengenalan ECP dalam Liga Malaysia akan memberikan lebih banyak input positif di mana kelab dikehendaki mengemukakan unjuran pendapatan mereka kepada MFL dalam bentuk belanjawan kewangan bagi memastikan kewangan mereka lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Selain rakan kongsi Liga Malaysia, turut hadir pada bengkel berkenaan adalah barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah bengkel ECP ini turut dibuka kepada pihak media untuk mendapatkan lebih pemahaman berhubung pelaksanaan dan kepentingannya.

Sumber dan kredit : Malaysia Football League.

About MyGooners 879 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment