Lionel Messi pemenang Ballon d’Or 2019!

Lionel Messi memenangi Ballon d’Or 2019, kali keenam sepanjang kariernya, menewaskan Virgil van Dijk dan Cristiano Ronaldo.

Penyerang prolifik Barcelona tersebut masih mendapat perhatian para wartawan seluruh dunia, sehingga dia mendapat banyak undian daripada mereka, mengatasi pemain pertahanan tengah Liverpool, van Dijk, dan penyerang Juventus, Ronaldo.

“Saya sangat menghargai mereka di Barcelona dan kasih sayang yang mereka tunjukkan kepada saya. Hari ini hari yang istimewa, dan saya sangat gembira kerana anugerah ini sangat bermakna.

“Sebenarnya rutin harian tidak memberikan saya masa untuk berhenti dan berfikir dan menikmati yang telah kami capai. Saya akan nikmatinya hari ini, dan menikmati masa bersama keluarga saya, kemudian baru fikir apa yang mahu dilakukan seterusnya, seperti yang saya selalu lakukan.

“Saya akan memikirkan mengenai segala pencapaian saya nanti. Tetapi di saat segalanya berjalan dengan pantas, saya hanya boleh memikirkan perlawanan yang seterusnya.

Dia kemudian menambah: “Apabila saya melihat video 10 tahun lepas bila saya menerima Ballon d’Or pertama saya di Paris, saya teringat saya hadir bersama tiga adik-beradik saya. Saya berusia 22 tahun ketika itu. Susah untuk difikirkan pengalaman yang telah saya lalui.

Lionel Messi menerima Bola Emas daripada Luka Modric

“Sepuluh tahun kemudian, saya menerima anugerah ini buat kali keenam, dan ianya sangat berbeza, sungguh istimewa. Satu saat yang indah dalam hidup saya bersama isteri dan tiga anak lelaki saya. Saya juga rasa bertuah kerana abang dan beberapa orang saudara saya juga berada di sini. Saya tidak pernah berhenti memasang impian dan keinginan untuk menjadi lebih baik setiap hari, dan yang paling utama ialah menikmati saat bermain bolasepak.

“Saya sedar diri dengan usia saya kini dan saya lebih menikmati saat-saat seperti ini kerana apabila masa persaraan saya semakin dekat, semakin sukar untuk saya mengulanginya kejayaan ini. Saya hanya mahu terus menikmati bermain bolasepak, dan keluarga dan kehidupan saya.”

Pemain berusia 32 tahun ini sudah memenangi anugerah Bola Emas ini pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015 dan telah tersenarai dalam tiga pemain terbaik sebanyak 11 kali, melebihi pemain-pemain lain.

Pemenang Ballon d’Or wanita pula dimenangi oleh pemain antarabangsa Amerika Syarikat, Megan Rapinoe. Namun dia tidak dapat menghadiri majlis tersebut dan menerima sendiri anugerahnya itu, sebaliknya hanya menghantar video ucapan penerimaan anugerah dan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, jurulatih, dan persatuan bolasepak yang sentiasa menyokongnya.

Megan membantu skuad wanita Amerika Syarikat memenangi Piala Dunia Wanita FIFA pada Julai lepas. Dia menjaringkan enam gol dalam kejohanan yang berlangsung di Perancis itu, termasuk satu gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Belanda dalam perlawanan akhir.

Walau dia berkongsi anugerah Kasut Emas bersama rakan senegaranya, Alex Morgan dan pemain England, Ellen White, masing-masing menjaringkan enam gol, Morgan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan mengatasi Lucy Bronze (England) dan Rose Lavelle (Amerika Syarikat).

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dinamakan pemenang sulung anugerah Lev Yashin (Penjaga Gol Terbaik), manakala pemain pertahanan tengah Juventus, Matthijs de Ligt pemenang anugerah Kopa (Pemain Muda Terbaik).

Be the first to comment