Mikel Arteta mahu Albert Stuivenberg dalam pasukan jurulatihnya di Arsenal

Penolong ketua jurulatih Wales, Albert Stuivenberg menjadi sasaran Arsenal untuk diserapkan ke dalam pasukan jurulatih ketua jurulatih baru kelab, Mikel Arteta.

Arteta, yang telah dilantik menjadi ketua jurulatih baru kelab pada Jumaat lepas, kini sedang dalam mempersiapkan pasukan jurulatihnya untuk membantu memperbaiki prestasi Arsenal pada musim ini, dan penolong pengurus Belanda ini merupakan salah seorang daripadanya.

Albert Stuivenberg (kiri) bersama Ryan Giggs mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan Wales

Albert Stuivenberg merupakan penolong ketua jurulatih pasukan kebangsaan Wales iaitu Ryan Giggs, dan dia sudah bersama dengan bekas pemain legenda Manchester United itu sejak Giggs mengambil alih jawatan sementara pengurus United setelah David Moyes dipecat pada April 2014.

Dia juga terus bersama Giggs menjadi pembantu pengurus Louis Van Gaal, ketika Van Gaal memegang jawatan pengurus United dari Julai 2014 hingga Mei 2016.

Giggs telah membawa Stuivenberg bersamanya untuk menguruskan pasukan kebangsaan Wales, dan sudah tentu mahukannya bersama mengharungi kejohanan EURO2020 nanti.

Dua nama sudah dikenalpasti akan menyertainya, namun masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak kelab.

Bekas penolong pengurus Everton, Steve Round dan bekas jurulatih penjaga gol Brentford, Inaki Cana Pavon antara yang akan menyertai Arteta nanti.

Arteta juga sudah mengesahkan bekas pengendali sementara kelab, Freddie Ljungberg akan dikekalkan dalam skuad jurulatih pasukan utama.

Arteta akan mengendalikan perlawanan pertamanya bersama Arsenal apabila the Gunners menentang Bournemouth di Stadium Vitality pada hari Khamis ini.

Be the first to comment