Senarai pemain Asia di Arsenal…Jepun, Korea Selatan, dan China?

Li Ke

Arsenal telah mempunyai ramai pemain yang mewakili pelbagai negara di dunia ini.

Dan negara-negara Asia juga tidak terkecuali dari mempunyai wakil pemain di kelab yang berpusat di utara London ini.

Namun negara manakah dan siapakah pemain-pemain tersebut?

KOREA SELATAN

PARK CHU-YOUNG

Tarikh & tempat lahir: 10 Julai 1985 di Daegu, Korea Selatan
Posisi: Penyerang
Sertai Arsenal: 30 Ogos 2011 dari AS Monaco
Karier Arsenal: 2011 – 2014
No Jersi: 9

Jumlah penampilan: 7
Jumlah gol: 1

Park Chu-Young merupakan pemain pertama Korea Selatan yang bermain untuk Arsenal.

Dia merupakan salah seorang dari lima orang pemain yang hadir serentak pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas 2011.

Dia, bersama Mikel Arteta, Per Mertesacker, Andre Santos, dan Yossi Benayoun tiba di Stadium Emirates pada 30 Ogos 2011, dalam satu langkah terdesak Arsene Wenger memperbaiki prestasi pasukan pada ketika itu.

Selepas menjaringkan 12 gol dalam musim terakhirnya bersama Monaco, dia mendapat tawaran untuk menyertai Lille.

Namun, Wenger berjaya menyakinkan dia untuk menyertai the Gunners.

Park Chu Young meraikan gol tunggalnya untuk Arsenal.

Kariernya di Arsenal tidak menjadi seperti yang diharapkan. Chu-Young hanya membuat tujuh penampilan dalam semua kejohanan, tujuh minit bermain dalam perlawanan PL menentang Manchester United pada 22 Januari 2012 (tewas 1-2).

Dia menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan tersebut, menentang Bolton Wanderers dalam perlawanan Piala Liga.

Dia jarang dapat minit permainan kerana dia sukar menurunkan ‘takhta’ penyerang pilihan utama yang dipegang oleh Robin Van Persie, Theo Walcott, Marouane Chamakh, Olivier Giroud, Gervinho dan Lukas Podolski.

Malah nombor jersinya (nombor 9) telah digunakan oleh Podolski pada musim 2012/13, di mana dia telah dipinjamkan ke Celta Vigo.

Chu-Young juga tidak bermain di Emirates pada musim terakhirnya di sana (2013/14) kerana dipinjamkan ke Watford.

Penyerang berusia 34 tahun ini kini bermain bersama FC Seoul di liga utama Korea Selatan, menjaringkan 12 gol dalam 36 penampilan dalam semua kejohanan musim ini.

JEPUN

JUNICHI INAMOTO

Tarikh & tempat lahir: 18 September 1979 di Kagoshima, Jepun
Posisi: Pemain tengah
Sertai Arsenal: 24 Julai 2001 dari Gamba Osaka
Karier Arsenal: 2001 – 2002
No Jersi: 19

Jumlah penampilan: 4
Jumlah gol: 0

Junichi Inamoto merupakan pemain pertama Asia dan Jepun ditandatangani Arsenal secara pinjaman dari kelab Gamba Osaka.

Dia juga antara pemain Jepun pertama di Premier League selain Kazuyuki Toda, yang bermain bersama Tottenham Hotspur.

Junichi Inamoto

Inamoto tidak pernah membuat penampilan PL bersama the Gunners. Hanya membuat empat penampilan dalam kejohanan piala domestik dan Eropah sahaja.

Peluangnya terbatas kerana Patrick Vieira, Edu, Gilles Grimandi, dan Ray Parlour masih bermain di posisi sama dengannya.

Pemain yang diberikan gelaran ‘Beckham Asia’ ini meninggalkan kelab sebelum Piala Dunia 2002 bermula.

Dia juga pernah bermain dan membuat penampilan PL bersama Fulham dan West Bromwich Albion. Selain itu, dia juga pernah bermain dengan beberapa kelab Eropah lain.

Eintracht Frankfurt, Stade Rennes, dan Galatasaray pernah menggunakan khidmat pemain ini dari tahun 2006 -2010.

Inamoto masih lagi bermain bola sepak, kini bersama kelab J3 (divisyen ketiga Jepun) iaitu SC Sagamihara.

RYO MIYAICHI


Tarikh & tempat lahir: 14 Disember 1992 di Aichi, Jepun
Posisi: Pemain tengah
Sertai Arsenal: 30 Januari 2011 dari High School Chukyo
Karier Arsenal: 2011 – 2015

Jumlah penampilan: 7
Jumlah gol: 0

Ryo Miyaichi

TAKUMA ASANO

Tarikh & tempat lahir: 10 November 1994 di Mie, Jepun
Posisi: Penyerang
Sertai Arsenal: 18 Julai 2016 dari Sanfrecce Hiroshima
Karier Arsenal: 2016 – 2019

Jumlah penampilan: 0
Jumlah gol: 0

Takuma Asano

Arsenal pernah mendapatkan dua lagi pemain muda Jepun semasa era pengurusan Wenger iaitu Ryo Miyaichi dan Takuma Asano.

Kedua-dua pemain ini mendapat testimoni yang baik sebelum menyertai the Gunners.

Miyaichi merupakan seorang pemain sayap yang pantas dan mempunyai skil mengelecek yang bagus, manakala Takuma merupakan seorang penyerang yang baik juga di awal kariernya.

Namun, mereka mengalami nasib yang serupa seperti Inamoto. Mungkin nasib lebih tidak baik terjadi kepada Asano, kerana dia langsung tidak pernah bermain untuk skuad utama Arsenal sebelum berhijrah ke Partizan Belgrade pada Ogos lepas.

Miyaichi pula kini kerap diturunkan dalam kesebelasan utama kelab Bundesliga 2, FC St Pauli.

Dia telah bermain 68 perlawanan, menjaringkan lapan gol sejak berpindah ke kelab tersebut secara percuma pada 2015.

Ketibaan dua pemain muda ini dikatakan hanyalah untuk membantu pemasaran jenama kelab di Jepun.

CHINA

NICO YENNARIS

Tarikh & tempat lahir: 24 Mei 1994 di London
Posisi: Pemain tengah
Sertai Arsenal: Mei 2001 (akademi Arsenal)
Karier Arsenal: 2001 – 2014

Jumlah penampilan: 4
Jumlah gol: 0

Nico Yennaris

Nico Yennaris merupakan pemain kelahiran London, England semasa dia masih bersama Arsenal, namun telah menukar kerakyatan ke China pada Jun tahun ini, menerusi pertalian darah dengan ibunya.

Pada Jun 2019, dia telah membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan China menentang Filipina, dan menjadi pemain pertama yang telah dinaturalisasi dan diserap ke dalam skuad bolasepak negara tersebut.

Dia telah membuat lima penampilan antarabangsa setakat ini.

Selain China dan England, Yennaris atau nama cinanya, Li Ke mempunyai kerakyatan Cyprus menerusi bapanya.

KESIMPULAN

Kehadiran pemain-pemain Asia di Arsenal lebih kepada pemasaran ke negara sasaran yang diinginkan kelab, meraih lebih ramai peminat dari sana.

Karier pemain-pemain ini tidak menjadi seperti yang dilihat berlaku di kelab-kelab lain seperti Li Tie (Everton), Park Ji-Sung (Manchester United), Omar Al-Habsi (Oman), dan Son Heung-Min (Tottenham Hotspur).

Mungkin juga gaya permainan yang diterapkan di dalam diri pemain ini tidak bersesuaian dengan corak dan taktikal permainan yang dimainkan oleh Arsenal.

Suatu hari nanti, akan ada seorang pemain Asia yang mampu menyesuaikan diri di kelab, dan menjadi pemain yang berguna untuk the Gunners.

COYG!

Be the first to comment