Tiga kelab Premier League runsing cari pengurus baru

Arsenal, Watford, dan Everton baru sahaja memecat pengurus mereka pada minggu lepas dan minggu ini.

Unai Emery telah dipecat oleh Arsenal pada minggu lepas setelah tewas 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam perlawanan peringkat kumpulan Europa League.

Kekalahan kepada kelab Jerman itu bermakna Arsenal telah gagal untuk menang dalam tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Dengan taktikal dan pemilihan pemain yang mengelirukan dan tidak konsisten, maka pengurus Sepanyol dan pasukan jurulatihnya telah ditunjukkan jalan keluar.

Tugasnya kini diambil sementara waktu oleh bekas pemain legenda Arsenal juga pembantu pengurus Unai musim ini iaitu Freddie Ljungberg dan dibantu oleh pengurus akademi kelab, Per Mertesacker.



Watford menyingkirkan rakan senegara Unai, Quique Sanchez Flores pada hujung November lepas setelah tewas 1-2 kepada Southampton dalam perlawanan Premier League di Stadium St Mary. Ini merupakan kali kedua Sanchez Flores hilang jawatan sebagai pengurus Watford, kali pertama pada Jun 2016.

Jurulatih skuad bawah 23 tahun kelab, Hayden Mullins mengambil alih tugasan sementara setelah pemecatan Sanchez Flores. Dia tewas dalam perlawanan pertamanya, 0-2 kepada Leicester City kelmarin.

Hayden Mullins (depan) menjadi pengendali sementara Watford bersama bekas penjaga gol Arsenal, Graham Stack.

Dan Marco Silva menjadi pengurus kelima yang dipecat dari kelab PL, kehilangan jawatan sebagai pengurus Everton, setelah Liverpool membelasah pasukannya 5-2 dalam derbi Merseyside pertama musim ini pada Khamis lepas.

Duncan Ferguson, jurulatih skuad bawah 23 tahun Everton, mengambil alih sementara tugasan sebagai pengurus skuad senior, dan dibantu oleh John Ebbrell, Francis Jeffers, dan Alan Kelly.

Ketiga-tiga kelab ini giat mencari pengurus baru bagi memperbaiki prestasi pasukan sepantas mungkin sebelum segalanya sudah terlambat.

Namun tidak begitu mudah untuk mencari seorang pengurus yang sesuai dan boleh mengamalkan falsafah dan nilai yang dimahukan oleh pemilik dan para penyokong kelab di pertengah musim.

Faktor gaji juga boleh menjadi penghalang andai ada calon pengurus yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut.

Sehingga artikel ini ditulis, the Gunners sudah dikaitkan dengan beberapa pengurus yang berkualiti seperti Brendan Rodgers, Mikel Arteta, dan Massimilliano Allegri. Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino juga dikhabarkan dalam radar orang atasan kelab.

Tetapi, dua daripada empat nama di atas sudah menyatakan perancangan mereka untuk baki musim 2019/20. Rodgers baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan baru bersama Leicester City, manakala Allegri juga sudah memberitahu bahawa dirinya tidak mahu terburu-buru untuk kembali ke dunia pengurusan.

Mikel Arteta dilihat masih mentah untuk menjadi seorang pengurus kelab. Dia kini bekerja sebagai pembantu pengurus Pep Guardiola di Manchester City.

Mentah atau tidak, Guardiola sudah berulang-kali memuji kebijaksanaan dan pemerhati bekas pemain tengah Arsenal dan Everton ini, membantu kelab untuk memenangi lima kejuaraan dalam masa tiga tahun.

Selain mereka, Arsenal juga dikhabarkan mahu mendapatkan pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo. Pada pendapat penulis, sukar untuk menarik Nuno keluar dari Wolves memandangkan hubungan baiknya dengan pemilik kelab dan super agent, Jorge Mendes.

Pilihan lain? Pengurus Nice, Patrick Vieira juga bekas kapten skuad Invincibles Arsenal musim 2003/04, atau bekas pengurus Valencia, Marcelino Garcia, atau kekalkan Freddie Ljungberg sehingga hujung musim?

Keputusan yang sukar untuk orang-orang atasan Arsenal mencari pengganti yang sesuai untuk memulihkan keyakinan pemain, suasana bilik persalinan yang lebih positif, dan mendapatkan keputusan-keputusan perlawanan yang lebih baik (ayat mudah – MENANG), sekaligus mencapai objektif yang diinginkan setiap penyokong the Gunners – iaitu kembali semula ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Watford dan Everton, yang kini menduduki dua dari tiga tempat tercorot liga, dilaporkan sedang dalam satu dua urusan terakhir memetarai perjanjian kontrak bersama pengurus baru mereka.

Vitor Pereira, jurulatih kelab Shanghai SIPG, dilaporkan sedang dalam rundingan untuk menjadi pengurus baru Everton.

Selain Pereira, Everton juga dikhabarkan mahu membawa kembali bekas pengurus mereka, David Moyes yang kini masih tiada kelab.

Watford juga dikhabarkan berminat untuk mendapatkan Pereira, yang telah mengetuai Shanghai menduduki tempat ketiga Chinese Super League (CSL) musim ini.

Dia merupakan salah seorang pengurus dengan bayaran gaji tertinggi di dunia, dan pernah ditawarkan untuk menjadi pengurus skuad kebangsaan China.

The Hornets pula sudah hampir pasti untuk mengumumkan Nigel Pearson secara rasmi telah menjadi pengurus baru mereka.

Bekas pengurus kelab OH Leuven (kelab divisyen dua Belgium) ini hanya pernah mengendalikan 40 perlawanan PL (38 perlawanan bersama Leicester pada musim 2014/15, 2 perlawanan bersama Newcastle United dari tahun 2006 – 2007).

Nigel Pearson

Mungkin agak mudah untuk kelab-kelab seperti ini untuk mencari pengganti dengan lebih cepat, kerana objektif utama mereka adalah untuk mengeluarkan diri dari zon penyingkiran liga.

Namun untuk kelab yang mempunyai status elit seperti Arsenal, seorang pengurus yang betul-betul ‘umpph!’ amat diperlukan.

Mencari pengurus baru yang sepadan dengan kelab sememangnya sukar. Lagi sukar dari kira bulu beruang!

Be the first to comment