Arteta kehilangan 6 pemain dalam menghadapi Bournemouth.

Perlawanan Pusingan Ke-4 Piala FA menemukan Arsenal dan Bournemouth.

The Gunners akan berkunjung ke Dean Court bagi menghadapi Bournemouth Selasa ini jam 4 pagi waktu Malaysia.

Dan menjelang perlawanan Pusingan Ke-4 Piala FA itu, laman rasmi Arsenal telah memberikan kemas kini mengenai status terkini pemain yang mampu digunakan Arteta.

Kelab telah mengesahkan bahawa Sokratis telah kembali menjalani latihan penuh setelah terlepas dua perlawanan terakhir akibat sakit yang tidak dijelaskan.

Arteta mampu menggunakan Sokratis menghadapi Bournemouth.

Pemain pertahanan Greek itu bagaimanapun akan dinilai dalam beberapa hari yang akan datang, tetapi dijangkakan dia akan kembali ke skuad menentang Bournemouth pada hari Selasa.

Kembalinya Sokratis merupakan tepat pada masanya kerana David Luiz tidak mampu diturunkan dalam saingan Piala FA akibat penggantungan selepas dibuang padang ketika seri 2-2 menentang Chelsea pada 22 Januari lalu.

Manakala Calum Chambers pula terpaksa diketepikan untuk sepanjang musim selepas pembedahan dijalankan ekoran kecederaan anterior cruciate ligament – ACL.

Mikel Arteta jelas tidak mempunyai banyak pilihan pada bahagian pertahanan dengan Sead Kolasinac juga masih tidak bersedia kerana masih lagi menjalani pemulihan ekoran kecederaan paha yang dialaminya.

Dan Kieran Tierney tidak akan kembali sehingga Mac nanti selepas menjalani pembedahan bahu ekoran kecederaan yang di alaminya pada bulan Disember ketika menentang West Ham.

Pierre-Emerick Aubameyang akan menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Crystal Palace dan sebagaimana David Luiz, beliau juga tidak mampu diturunkan untuk perlawanan ini.

Sementara Reiss Nelson dijangka hanya akan kembali pada bulan depan kerana masih lagi bergelut dengan masalah hamstring.

Dengan pengesahan Sokratis yang telah menjalani latihan penuh, Arsenal akan menempuh perjalanan menghadapi Bournemouth tanpa enam pemain selepas berjaya menewaskan Leeds pada pusingan ketiga.

Ceballos mungkin diturunkan menentang Bournemouth.

Dan Arteta dijangka akan memberi peluang kepada pemain-pemain muda dan melakukan penggiliran pemain seperti Ainsley Maitland-Niles, Rob Holding, Matteo Guendouzi, Joe Willock, Dani Ceballos dan Eddie Nketiah yang mempunyai peluang untuk membawa Arsenal ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala FA.

Eddie Nketiah
About MyGooners 881 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment