Kazuyoshi Miura, 52 tahun, menandatangani kontrak lanjutan baru bersama Yokohama FC

Kazuyashi Miura

Kazuyoshi Miura memulakan kariernya pada 1986, dan masih bersemangat untuk bermain bolasepak secara profesional sehingga kini.

Dia akan berusia 53 tahun pada 26 Februari ini, telah menandatangani kontrak lanjutan yang baru bersama Yokohama FC yang akan beraksi di J1, liga tertinggi bolasepak Jepun, pada musim 2020.

“Saya dapat memperbaharui kontrak saya bersama Yokohama FC untuk musim 2020,” kata pemain yang diberi nama timangan “King Kazu” dalam laman sesawang rasmi kelab.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan sumbangan.”

Yokohama FC baru sahaja naik divisyen ke J1 selepas menduduki tempat kedua J2 musim 2019 di belakang Kashiwa Reysol.

Namun penglibatan penyerang veteran ini sangat terhad kepada tiga penampilan sahaja.

Dan tiada jaringan gol dapat dihasilkannya.

Perlawanan pertama Yokohama FC dalam J1 musim 2020 adalah menentang Vissel Kobe pada 23 Februari.

Dan andai dia bermain, ianya akan menjadi perlawanan liga tertinggi pertamanya sejak 2007, ketika dia berusia 40 tahun.

Miura sudah bersara dari pentas bolasepak antarabangsa sejak 20 tahun lepas, memenangi 89 cap antarabangsa dan menjaringkan 55 gol untuk Jepun.

Perlawanan antarabangsa terakhirnya adalah pada 6 Jun 2000, ketika membantu Jepun menewaskan Jamaica 4-0, dan dia juga turut menyumbang satu gol.

Pada tahun 2017, dia memecah rekod bekas pemain legenda England, Sir Stanley Matthews sebagai pemain profesional tertua menjaringkan gol.

Miura menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika membantu Yokohama FC menang 1-0 ke atas Thespakusatsu Gunma pada 12 Mac 2017.

Dia telah berkelana dan menyertai beberapa buah kelab Jepun yang lain selain kelab-kelab bolasepak di Brazil, Itali, dan Croatia sepanjang 30 tahun lebih karier profesionalnya.

Be the first to comment