Kecederaan Shkodran Mustafi tidak serius seperti yang dijangkakan

Shkodran Mustafi

Arsenal boleh menarik nafas lega selepas Shkodran Mustafi tidak mengalami kecederaan serius pada buku lalinya ketika beraksi menentang Bournemouth kelmarin.

Dia mengalami kecederaan tersebut selepas tidak mendarat dengan baik pada kaki kirinya dan menyebabkan buku lalinya sedikit terpelecok ketika kemenangan 2-1 ke atas the Cherries pada aksi pusingan keempat Piala FA 2019/20.

Pemain berusia 27 tahun ini bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut sebelum kecederaannya itu memendekkan masanya beraksi dalam perlawanan itu.

Ternyata tiada tanda kecederaan yang teruk selepas pemeriksaan lanjut dijalankan. Ianya menunjukkan tiada kerosakan pada ligamen, bermakna dia hanya diketepikan dalam beberapa minggu sahaja, bukan berbulan-bulan.

Mustafi telah dimaklumkan bahawa dia boleh meninggalkan kelab pada musim panas lepas, namun memilih untuk kekal di Stadium Emirates.

Dia tidak lagi menjadi pilihan utama di posisi pertahanan tengah selepas menyajikan beberapa persembahan kurang memberangsangkan sebelum ini, hanya bermain dalam perlawanan Piala Carabao dan Europa League sahaja musim ini.

Tetapi, Mikel Arteta mempercayai kebolehan pemain ini dan memberikannya peluang untuk membuktikannya kepada semua.

Dia memulakan dalam tiga perlawanan terakhir the Gunners, termasuk perlawanan di Stadium Vitality sebelum digantikan oleh Rob Holding.

Andai Mustafi cepat sembuh dan kembali ke tahap kecergasan penuh perlawanan, dia boleh menjadi pemain yang boleh diharapkan terutama untuk menghadapi lawan yang sentiasa menghantar bola tinggi ke dalam kawasan jagaannya.

Dia juga memerlukan sokongan dan dorongan daripada para peminat Arsenal untuk dia terus beraksi baik dalam setiap perlawanan.

Be the first to comment