Demi pemain berusia 16 tahun, United sedia keluarkan £30 juta.

Jude Bellingham

Manchester United tawar £30 juta untuk dapatkan pemain berusia 16 tahun dari Birmingham City

Pemain remaja Birmingham City, Jude Bellingham sudah lama menjadi sasaran Manchester United, dan kini mereka bersedia membuat tawaran lumayan untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 16 tahun ini sudah membuat 25 penampilan skuad senior bersama Birmingham City musim ini, dan banyak kelab sudah mula memerhati dan mengikuti perkembangannya.

Menurut the Sun, United tidak mahu menunggu lama dan bersedia membuat tawaran menarik untuk dapatkan Bellingham sebelum disambar oleh kelab-kelab besar Eropah yang lain.

Selain United, antara kelab-kelab Eropah yang lain yang mengikuti perkembangan pemain ini adalah Liverpool, Manchester City, Arsenal, Bayern Munich, dan Borussia Dortmund.

Pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer terdesak mahu menambah pilihan pemain di bahagian tengah selepas kehilangan Paul Pogba dan Scott McTominay akibat kecederaan, dan kini telah meletakkan kepercayaannya terhadap bakat para pemain muda.

Prodigi remaja ini membuat debut untuk kelab yang disokongnya sejak kecil pada usia 16 tahun 38 hari – memecah rekod kelab yang dibuat oleh Trevor Francis pada 1970.

Dia juga meletakkan namanya sebagai penjaring termuda Birmingham City apabila dia menjaringkan gol menentang Stoke City beberapa minggu kemudian.

Be the first to comment