“Saya sangat bangga dengan pasukan saya” Mikel Arteta

Mikel Arteta masih belum menilai Ceballos sepenuhnya.

Mikel Arteta memuji persembahan anak buahnya ketika Arsenal seri 2-2 lawan Chelsea pada awal pagi tadi.

Dia juga masih yakin pasukannya masih boleh merebut slot Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, melihat semangat dan mentaliti yang ditunjukkan para pemainnya walau terpaksa bermain dengan 10 orang pemain hampir 65 minit perlawanan.

Pemain pertahanan tengah, David Luiz telah dibuang padang kerana menghalang Tammy Abraham dari menjaringkan gol dalam kotak penalti, selepas penyerang Chelsea tersebut berjaya memperdaya Bernd Leno.

Ianya berpunca dari hantaran bola ke belakang yang lemah oleh Shkodran Mustafi, dan Tammy mengejar dan dapat bola tersebut sebelum menggelecek melepasi Leno sebelum dijatuhkan oleh Luiz.

Pengadil perlawanan, Stuart Antwell tidak teragak untuk melayangkan kad merah kepada Luiz. Jorginho menyempurnakan sepakan penalti untuk Chelsea menjadikan kedudukan 1-0.

Dari memasukkan Rob Holding untuk bermain di posisi pertahanan tengah bersama Mustafi, Arteta meletakkan Granit Xhaka untuk bermain di posisi tersebut, dan setiap pemainnya bermain dengan sungguh kental untuk menghalang dan mematahkan setiap percubaan Chelsea ke arah gol.

“Masa akan menunjukkan hasilnya tetapi sekurangnya saya dapat melihat reaksi yang saya mahukan daripada mereka iaitu tidak mengaku kalah dan terus bermain dengan sungguh bersemangat,” kata Arteta kepada BT Sport selepas tamat perlawanan.

“Saya sungguh bangga dengan pasukan ini, bagaimana reaksi mereka, bagaimana mereka bertindak selepas rakan mereka membuat kesilapan. Dan inilah yang mereka lakukan, mereka semua.”

Arsenal bertahan dari gerakan serangan bertali-arus Chelsea dengan hanya menggunakan tenaga 10 orang pemain, tetapi masih dapat menjaringkan gol penyamaan pertama menerusi Gabriel Martinelli.

Mustafi menanduk keluar hantaran lintang ke dalam kotak penalti sebelum dikawal kemas oleh Martinelli yang membawa bola dari kawasan sendiri, melepasi N’Golo Kante sebelum tenang menolak bola masuk ke sebelah kiri gawang jagaan Kepa Arrizabalaga.

Gabriel Martinelli meraikan jaringan golnya menentang Chelsea

“Kami berfikir mahu membawa mereka semua keluar sebab tahap tenaga telah merudum,” akui ketua jurulatih itu.

“Kami sudah beberapa kali menukar fikiran tetapi ianya satu mata yang baik pada akhirnya melihat situasi yang perlu kami hadapan.

“Jika anda mahu, mempunyai semangat dan sikap [yang betul], anda boleh bermain di mana sahaja di atas padang.

“Saya bertanya kepada Hector adakah dia sudah bersedia dan dia berkata, ‘Boss, saya sedia’. Setiap tiga hari, itulah permintaan daripada kelab bolasepak ini.”

Cesar Azpilicueta kembali meletakkan Chelsea di hadapan selepas menolak masuk hantaran bola rendah ke dalam kotak penalti menewaskan Leno.

Tetapi Arsenal masih tidak putus semangat dengan mencipta gerakan serangan ke arah gawang Chelsea, dan Hector Bellerin melakukan rembatan menggunakan kaki kirinya yang menewaskan Kepa di sudut jauh gawangnya. 2-2!

Walaupun berjaya mendapatkan satu mata, kedudukan Arsenal di carta liga lebih dekat dengan zon penyingkiran berbanding slot UCL, namun Arteta tidak mahu mudah menyerah kalah.

“Saya berkata kepada pasukan saya mahu lihat bagaimana reaksi anda di stadium ini. Kami berharap dapat bersaing mendapatkan slot UCL tersebut sehingga ke akhir musim.”

Be the first to comment