City bakal dihancurkan oleh pemain-pemain mereka.

Manchester City
Manchester City berdepan dengan tindakan penggantungan dari menyertai saingan Liga Juara-Juara selama dua tahun daripada UEFA.

Perasaan ini mungkin difahami oleh peminat dan penyokong Arsenal, terutamanya bekas pengurus, Arsene Wenger.

Walaupun tidak pernah dikenakan sebarang hukuman dari UEFA, namun Arsenal dibawah Arsene Wenger pernah memiliki pemain-pemain yang hebat sebelum ‘diruntuhkan’.

City mungkin kehilangan aset dan bintang mereka sekiranya larangan ataupun penggantung untuk aksi Liga Juara-Juara dikuatkuasakan.

Dan perkara ini sama seperti yang dikatakan Arsene Wenger mengenai keruntuhan pasukan Arsenal yang hebat satu ketika dahulu.

Kuasa wang yang dimiliki pasukan lawan, jelas menghancurkan pasukan Arsenal, yang mana ianya cukup difahami Wenger mengenai perasaan luka dan kecewa itu.

Bekas pengurus Arsenal, yang kini bekerja bersama FIFA, percaya bahawa kelab yang dimiliki Abu Dhabi itu telah dipenuhi, hanya kerana kekayaan mereka ‘membeli semua pemain saya (Wenger)’ dan menyukarkan Wenger untuk menambah koleksi trofi di Emirates.

Ketika pasukan kendalian Wenger hampir mantap, seorang demi seorang pemain meninggalkan Emirates demi kerana wang – gaji yang lebih tinggi.

Walaupun kebanyakkan pemain Wenger meninggalkan Emirates sebelum kedatangan ‘orang kaya Arab’ di Liga Perdana Inggeris, namun ianya tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh tawaran gaji yang tinggi serta kemampuan berbelanja mewah, dengan pembelian pemain yang mahal (tinggi) oleh sesetengah kelab membuatkan Arsenal terus kecewa.

Selepas menjuarai liga dengan gelaran invincible, Arsenal mula mengalami ‘keruntuhan’ dengan kapten pasukan, Patrick Vieira meninggalkan kelab untuk menyertai Juventus pada 2005.

Kemudian, Ashley Cole berpindah menyertai Chelsea pada 2006 setelah gagal dalam rundingan pembaharuan kontrak.

Dan ianya berkaitan dengan tawaran gaji.

Arsenal ketika itu menawarkan £55,000 seminggu dan Chelsea pula menawarkan £90,000 seminggu, yang mana gaji Cole kemudiannya dinaikkan lagi menjadi £120,000 seminggu setelah menandatangani kontrak baru pada September 2009.

Thierry Henry dan Alexander Hleb pula berpindah ke Barcelona dengan ​​Antonio Reyes ke Atletico Madrid dan Mathieu Flamini ke AC Milan.

Semuanya mahukan gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak trofi ataupun memenangi trofi baik secara berpasukan mahupun individu.

Pada tahun 2011, Gael Clichy dan Samir Nasri pula mengikuti Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure ke City, dengan gabungan mereka berjumlah £ 31 juta.

Malah pemain yang lebih baik daripada mereka itu tadi, Cesc Fabregas, berpindah ke Barcelona, ​​juga dengan nilai yang sama, £ 31 juta.

Lebih pedih dan menyakitkan, dimana Fabregas sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi menampung perbelanjaan perpindahan itu.

Mungkin ada yang merasakan nilai 31 juta itu adalah kecil, namun pada ketika itu, zaman tersebut, nilai tersebut dianggap besar dan bukan semua kelab mampu berbelanja sedemikian.

Musim panas 2012, Robin Van Persie yang kecewa dengan situasi Arsenal bertindak meninggalkan kelab dan menyertai Manchester United demi kerana trofi, yang akhirnya beliau berjaya memenangi gelaran liga.

Bacary Sagna turut membuat keputusan yang sama sebagaimana bekas rakan sepasukan beliau di Arsenal dengan meninggalkan kelab dan beliau telah berpindah ke Etihad secara percuma.

Proses pembentukan Arsenal untuk kembali mantap oleh Wenger seringkali terbantut dan ianya terjadi disaat pasukan beliau dilihat begitu hampir kembali hebat.

Dan menjelang penghujung kariernya bersama Arsenal, Wenger kehilangan Alexis Sanchez kepada Manchester United, juga disaat kita semua melihat Arsenal begitu hampir kembali berbisa.

Kehilangan pemain-pemain ternama, terbilang, berbisa dan hebat itu tidak lain dan tidak bukan, ianya adalah kerana faktor gaji yang tinggi dan juga trofi.

Dan jika penggantungan City dikekalkan, pemain terbaik mereka mungkin akan berpindah keluar dari Etihad dengan sebab yang sama.

Seperti apa yang ditunjukkan oleh Mino Raiola dengan Paul Pogba, dalam permainan bolasepak moden tidak ada kelab yang dapat mengekalkan pemain daripada melawan kehendaknya.

Jika pemain City diberitahu bahawa, selepas musim panas ini, peluang seterusnya mereka memenangi ataupun bersaing dalam Liga Juara-Juara adalah pada tahun 2023, sudah pasti ada dikalangan mereka tidak akan bertahan.

Terutama apabila Pep Guardiola mengakui dia bergurau tentang bersedia untuk turun ke Liga Dua bagi meningkatkan semangat dan menolak tawaran baru.

Jika Kevin De Bruyne, Raheem Sterling atau Gabriel Jesus percaya mereka mempunyai bakat untuk memenangi Ballon D’Or tetapi tahu ia hanya boleh berlaku jika mereka pergi jauh dalam saingan Liga Juara-Juara, bagaimana City mampu menghalangnya?

Ejen Raheem Sterling berkata: “Raheem hanya fokus kepada Manchester City dan tidak akan terganggu oleh apa-apa percakapan mengenai perpindahan ke mana-mana kelab pada masa ini.”

Petikan itu membawa kepada tajuk berita mengatakan Sterling tetap setia bersama City.

Tetapi, dengan menggunakan kata-kata ‘pada masa ini‘ ia bukanlah sesuatu yang menyakinkan sebagai ikrar setia serta jaminan untuk kekal bersama mereka (Manchester City).

Terdapat laporan pada bulan November, dimana Sterling enggan menerima kontrak baru sehingga menemui hala tuju dan rancangan sebenar Guardiola, dengan penggantungan dari beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara selama dua tahun, pasti akan meningkatkan lagi keengganannya untuk menerima tawaran kontrak baru.

Dan siapa yang boleh menyalahkannya?

Sebelum ini, City berjaya meyakinkan Sterling menyertai mereka dari Liverpool kerana kemampuan mereka itu dalam beraksi diperingkat tertinggi dan lebih berpotensi untuk memenangi lebih banyak trofi.

Sama seperti mereka (Manchester City) memberitahu dan memujuk pemain-pemain Arsenal supaya meninggalkan Emirates, yang meninggalkan Wenger merasa keperitan dan kepahitan membentuk kembali pasukan sambil menyaksikan pemain handalan meninggalkan beliau.

Adakah Aguero akan kekal bersama City sekiranya penggantungan 2 tahun daripada penyertaan Liga Juara-Juara dikenakan?

Ia adalah kelab yang tidak mempedulikan hal-hal pembangunan pemain melainkan mencipta kejayaan segera hasil daripada projek ‘minyak’ yang mengalir dan mencurah-curah ke dalam kelab.

Jika penggantungan itu dikekalkan, mereka seharusnya tidak terkejut sekiranya berlaku penghijrahan beramai-ramai pemain bintang mereka.

Sebagai mana mereka melakukan kepada pasukan lain, kini mereka mungkin akan merasainya sendiri.

Tiada kesetiaan pemain, wang besar dan trofi menjadi pilihan utama pemain.

Dan itu semua adalah apa yang diajar mereka (Manchester City) ketika merekrut pemain-pemain mereka dahulu.

Tidak mustahil, City akan dihancurkan dan diruntuhkan oleh pemain-pemain mereka sendiri.

About MyGooners 904 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment