Dani Ceballos berazam mahu membuktikan kemampuannya kepada Mikel Arteta

Ceballos

Hanya sekali bermain sekali di bawah Mikel Arteta, Dani Ceballos tidak putus asa untuk membuktikan dia layak bermain untuknya dan Arsenal.

Ceballos menyertai Arsenal secara kontrak pinjaman dari Real Madrid pada musim panas yang lalu.

Namun dia kurang mendapat peluang untuk beraksi dengan Arsenal sejak Arteta mengambil alih ‘kerusi panas’ pada Disember lepas.

Ceballos hanya bermain selama 27 minit ketika membantu the Gunners menang 2-1 ke atas Bournemouth dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA bulan lepas.

Dia hanya memanaskan bangku simpanan dalam kebanyakan perlawanan lain, menyaksikan pemain lain seperti Joe Willock dan Matteo Guendouzi digunakan Arteta dalam penggantian pemain semasa perlawanan berlangsung.

Situasi ini mungkin tidak menyenangkan Ceballos kerana dia mahu kerap beraksi bagi merebut tempat skuad kebangsaan Sepanyol untuk menghadapi cabaran EURO2020 nanti.

Tetapi dia tidak mahu terus merungut, dan berazam mahu membukti kemampuannya sambil membantu pasukannya mencapai objektif musim ini iaitu kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah.

“Mikel akan menjadi seorang jurulatih yang hebat. Dia sudah mempelajarinya daripada Pep (Guardiola), dia mempunyai falsafah permainan yang saya rasa sangat sepadan,” beritahu Ceballos kepada Marca.

“Betul dia tiba di sini ketika kelab dalam keadaan sukar, tetapi secara mental, dia sememangnya jurulatih yang Arsenal perlukan sekarang ini.

“Saya sudah bekerjasama dengannya sekitar dua minggu dan kini saya perlu tunjukkan bahawa saya cukup bagus untuk bermain untuk Arsenal. Saya akan menjadi pemain penting selepas rehat musim sejuk.

Dia juga rasa marah kerana tidak dapat memberikan impak yang secukupnya di bawah kendalian bekas pengurusnya Unai Emery, yang telah dipecat pada November lepas selepas 18 bulan menguruskan skuad.

“Saya rasa marah dan kurang sempurna kerana tidak dapat membantu jurulatih untuk membalas semua yang telah dia lakukan untuk saya,” tambah Ceballos.

Pemain berusia 23 tahun ini juga menafikan berita dia mahu memendek dan menamatkan kontrak pinjamannya dengan Arsenal.

“Macam tak betul je sebab penyokong Arsenal telah mencipta satu lagu untuk saya. Terdapat dalam tiga atau empat pemain dalam pasukan yang mempunyai lagu mereka sendiri, dan mereka telah berada di sini lebih lama daripada saya,” katanya.

“Saya rasa disayangi di sini. Setiap kali saya bermain di Emirates atau melakukan pemanas badan, para peminat sentiasa menyokong saya.”

Ceballos telah membuat 18 penampilan untuk the Gunners musim ini, menjaringkan satu gol selain membuat dua assist setakat ini.

Be the first to comment