Liga dah nak bermula, isu gaji masih menjadi masalah.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan bermula pada 29 Februari 2020.

Kira-kira dua minggu sahaja lagi untuk peminat sukan bolasepak tempatan dihidangkan dengan aksi Liga Malaysia, permasalahan sama berkenaan tunggakan gaji masih menghantui kita.

Dan belum pun lagi liga bermula, PDRM sudah pun menjadi pasukan pertama menerima hukuman dari FAM.

PDRM yang merupakan pendatang baharu Liga Super musim ini, dikenakan pemotongan tiga mata susulan masalah tunggakan gaji.

Manakala Melaka United dan Kelantan terselamat daripada menerima hukuman pemotongan tiga mata, namun masih berada dalam pemantauan FAM.

Menurut laporan yang dikeluarkan Berita Harian pada Ahad, 16 Februari 2020, mereka mendedahkan dimana pihak FAM perlu menyiasat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang didakwa masih belum menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Laporan Berita Harian – FAM perlu ‘siasat’ PBSNT

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu ‘menyiasat’ Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang didakwa belum menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Ia kerana persatuan negeri itu dikatakan mungkir janji selepas didakwa belum melunaskan tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai pasukan seperti dijanjikan.

Sumber mendakwa PBSNT berjanji akan membayar tunggakan itu pada 10 Februari lalu, namun bayaran itu belum diterima pemain dan pegawai pasukan.

“Tunggakan ini membabitkan pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2018 lagi dan ada juga musim 2019. Kita tidak bising sebab mengharapkan PBSNT bayar dan mereka janji akan membuat bayaran pada 10 Februari lalu.

“Tapi sekarang sudah lewat beberapa hari dan mereka pun tiada hubungi. Saya juga difahamkan ada pemain import sudah buat laporan ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan.

Sekiranya didapati bersalah, PBSNT berisiko dikenakan hukuman berat oleh FAM selepas badan induk bola sepak negara itu jelas sedang bertindak tegas menangani isu tunggakan gaji pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Untuk rekod, pendatang baharu Liga Super musim ini, PDRM menjadi pasukan pertama musim ini menerima hukuman FAM selepas dikenakan pemotongan tiga mata susulan masalah tunggakan gaji.

PDRM mempunyai tempoh hingga 28 Februari ini untuk menyelesaikan isu terbabit dan jika gagal, The Cops akan berdepan pemotongan enam mata lagi.

Dua pasukan lagi, Melaka United dan Kelantan yang terselamat daripada hukuman pemotongan tiga mata turut masih berada dalam pemantauan FAM.

Selain itu, usaha BH Sukan untuk mendapatkan penjelasan daripada PBSNT gagal selepas Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil tidak menjawab panggilan telefon.

Berita Harian.

About MyGooners 865 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment