Connect with us

Malaysia Football League

Liga Malaysia dapat dua slot automatik ke AFC.

Published

on

  • Dua slot automatik di kejohanan Piala AFC .
  • Dato’ Ab Ghani Hassan dilantik sebagai CEO MFL.
  • MFL umumkan pendapatan penajaan akan diagihkan wakil CIMB Liga Super dan pasukan Liga Premier pada musim ini.
  • Syarat pemain naturalisasi dikemaskini.
  • Pasukan yang bermain Liga M3 tidak dibenarkan untuk menjadi pasukan Reserve Team.

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa dua slot automatik untuk beraksi di kejohanan Piala AFC pada musim 2021 akan diberikan kepada pasukan juara Piala FA dan naib juara CIMB Liga Super.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20 semalam selepas pengendali Liga Malaysia itu dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang ke-20 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, YBhg Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut serta Timbalan Presiden MFL, YBhg Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, YBhg Dato Ab Ghani Hassan serta ahli Lembaga Pengarah yang lain. Kredit foto: MFL

Sementara slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal milik juara CIMB Liga Super.

Sebelum ini, Malaysia hanya meraih satu slot automatik ke ACL dan satu slot pusingan Play Off ACL.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, MFL selaku pengendali Liga Malaysia gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

Advertisement

“Kita sudah dimaklumkan mengenai penambahan slot ini namun masih menunggu surat rasmi daripada AFC.

“Kita sudah membuat keputusan awal berhubung perkara ini supaya dapat memberikan penjelasan awal kepada semua pasukan Liga Malaysia.

“Apa yang pasti, tambahan slot ke Piala AFC ini akan menyuntik semangat buat semua pasukan memberi saingan lebih kompetitif bagi merebut slot berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut memutuskan lantikan tetap Dato’ Ab Ghani Hassan sebagai CEO MFL dan akan berkuatkuasa pada 1 Mac 2020.

Advertisement

Sebelum ini, Dato’ Ab Ghani dilantik sebagai Pemangku CEO MFL pada 30 November tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, MFL mengumumkan pendapatan penajaan akan diagihkan sebanyak RM1 juta kepada wakil CIMB Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier pada musim ini.

Sesi Perjumpaan Rakan Kongsi Pasukan Liga Malaysia 2020 anjuran Malaysian Football League di Petaling Jaya yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan dihadiri oleh barisan ahli Lembaga Pengarah MFL serta rakan kongsi Liga. Kredit foto: MFL

Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi Liga akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan penajaan kepada Rakan Kongsi Liga adalah kurang atau melebihi RM18 juta.

Menurut Dato’ Ab Ghani, berdasarkan peruntukan itu, pemberian agihan kepada Rakan Kongsi Liga dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih oleh MFL.

“Berdasarkan pendapatan yang diraih MFL khususnya menerusi penajaan setakat ini, InsyaAllah kita akan membuat agihan pendapatan penajaan sejumlah RM18 juta keseluruhan kepada semua Rakan Kongsi Liga.

Advertisement

“Ini melibatkan agihan sejumlah RM1 juta untuk pasukan CIMB Liga Super dan RM500,000 pasukan Liga Premier.

“Semua Rakan Kongsi Liga sedia maklum mengenai agihan ini menerusi taklimat yang kita adakan pada hari ini bagi menerangkan secara jelas mengenai pendapatan serta perbelanjaan operasi MFL musim ini.

“Sebagai Rakan Kongsi Liga, mereka faham bahawa agihan yang diterima berdasarkan pendapatan MFL tahun ini dan mengikut kontrak perjanjian bersama Rakan Kongsi Liga,” katanya.

Sebagai rekod, MFL telah berjaya mendapatkan dua penaja Liga Malaysia musim ini di mana Telekom Malaysia (TM) menjadi penyiar rasmi dan penaja utama Piala Malaysia 2020 termasuk penaja bersama CIMB Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.

Advertisement

Manakala CIMB Bank menjadi penaja utama Liga Super yang dijenamakan sebagai CIMB Liga Super 2020 dan CIMB Piala Sumbangsih serta penaja bersama untuk pertandingan lain kelolaan MFL.

Tambah Dato’ Ab Ghani, pihak MFL juga sudah memaklumkan kepada Rakan Kongsi Liga mengenai perubahan struktur pembayaran pendapatan itu yang akan dibuat dipenghujung musim bermula tahun depan.

“InsyaAllah kita akan dapat menyerahkan agihan pendapatan kepada Rakan Kongsi Liga musim 2020 ini pada minggu depan.

“Saya percaya ini sedikit sebanyak membantu kewangan Rakan Kongsi Liga.

Advertisement

“Kita juga membuat keputusan untuk menyerahkan agihan dana pendapatan bagi musim 2021 kepada Rakan Kongsi Liga pada hujung musim 2021 selaras dengan agihan dana tajaan dari TM kepada MFL yang akan dibuat oleh TM dalam dua peringkat iaitu pada awal Januari 2021 dan awal Jun 2021 seperti yang tercatat dalam perjanjian tajaan.

“Ini bagi memastikan MFL dapat menyerahkan agihan pendapatan tahunan selepas mengambil kira keseluruhan tajaan dan kos pengurusan.

“Apa yang ingin dilaksanakan MFL ini juga adalah amalan pengurusan liga luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol) dan J.League (Jepun),” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga telah membuat keputusan untuk memansuhkan manual syarat pemain naturalisasi selepas mendapati ianya tidak lagi sesuai untuk dikuatkuasa atau dipraktikan berdasarkan perkembangan semasa dalam bola sepak tempatan.

Advertisement

Justeru, mana-mana pemain asing yang telah diiktiraf kewarganegaraannya oleh pihak berwajib dan memiliki kelayakan untuk mewakili pasukan negara, pemain tersebut juga boleh diiktiraf mewakili kelab atau pasukan dalam Liga Malaysia dengan status sebagai pemain tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan pasukan-pasukan yang bermain Liga M3 tidak dibenarkan untuk menjadi pasukan Reserve Team kepada mana-mana pasukan yang bertanding dalam Liga Premier atau Liga Super musim 2020.

Sebagai rekod, empat pasukan yang memegang status sebagai Reserve Team pada musim ini adalah Johor Darul Ta’zim II, Perak II, Terengganu FC II dan Selangor 2.

Sumber dan Kredit : Malaysia Football League

Advertisement

Sekadar menulis mengisi masa lapang.