Perancangan rapi Kerteh FC buahkan hasil.

Tahniah Kerteh FC (KFC) kerana muncul juara berganda Liga Amatur Terengganu 2019.

Penyertaan sulung Kerteh FC dalam saingan Liga Amatur Terengganu (Terengganu Amateur League – TAL) meletakkan pasukan dari Kerteh ini berada di pencapaian terbaik dengan muncul juara Piala TAL’19 selepas berjaya menewaskan pasukan Markless ST malam Jumaat lalu.

Sebelum ini, pasukan bolasepak Kerteh turut berjaya merangkul kejuaraan Liga Premier bagi saingan Liga Amatur Terengganu 2019.

Kemenangan dan kejayaan menewaskan Markless ST Jumaat lalu melengkapkan saingan 2019 pasukan Kerteh dengan gelaran berganda.

Pada perlawanan Jumaat lalu, KFC berjaya menyerap segala asakan daripada Markless ST dan memiliki pemain dengan stamina tinggi jelas memberikan satu kelebihan kepada pasukan yang dikenali dengan gelaran The Oilers ini.

The Oilers menggunakan kelebihan tersebut untuk menyaingi pasukan lawan yang dilihat mengalami keletihan untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan, dalam aksi 120 minit permainan perlawanan sebenar.

Walaupun beraksi buat kali pertama dalam saingan ini, Kerteh FC jelas mempamerkan aksi yang menyakinkan dan berjaya memenangi penentuan sepakan penalti untuk memberikan kejayaan berganda mereka, untuk musim pertama dalam saingan TAL.

SEJARAH PENUBUHAN

Kerteh FC merupakan sebuah pasukan yang berpengkalan di Kerteh, di daerah Kemaman, Terengganu.

Kerteh, Kemaman.

Fokus utama penubuhan kelab ini adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru bolasepak di Terengganu dan juga Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2017, kelab ini dimiliki dan dikendalikan oleh KAL Servies Sdn. Bhd, yang diwujudkan bagi menjamin kelestarian kewangan dan pertumbuhan komersil kelab.

KFC muncul juara Liga Amatur Terengganu 2019.
RANCANGAN JANGKA PANJANG

Kejayaan berganda dalam saingan Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019 bukanlah hasil ‘sambil lewa’ pengurusan Kerteh FC (KFC) yang mana ianya dirancang dengan penuh teliti bagi merencanakan perjalanan keseluruhan pasukan untuk jangka masa panjang.

Projek Kerteh FC bermula pada tahun 2017, dimana tahun pertama mereka bermula dengan merangka struktur organisasi dan strategi untuk menjadi sebuah kelab yang berjaya dan mampu bersaing dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Tahun 2018 (tahun kedua) mereka mula mengorak langkah dengan penganjuran Kemasik Amateur League (KAL) kerana disinilah tempat pemain-pemain yang mewakili Kerteh FC sekarang ini dibentuk dan dikumpulkan.

Mereka yang terpilih telah dinilai terlebih dahulu prestasi mereka didalam liga oleh panel yang dilantik oleh pihak Pengurusan KAL Services Sdn Bhd yang merupakan pemilik Kerteh FC.

Melalui KAL Services Sdn Bhd (KALSSB ), semua urusan dan operasi Kerteh FC di kawal selia oleh syarikat ataupun badan tersebut.

Dimana, KALSSB bertanggungjawab menyalurkan dana kepada Kerteh Football Club, Football League,Football Development, dan Kerteh Volleyball melalui konsep 3P iaitu Penajaan,Perniagaan dan Pelaburan.

Bijak mencari dan pembangunan pemain – pool player yang dilakukan oleh Kerteh FC.

Kal Services Sdn Bhd, badan yang memiliki Kerteh FC menjalankan rancangan menyeluruh bagi memastikan kelangsungan kelab dan pemain terus berkembang.

Pemain yang terpilih di dalam skuad 25 orang ini, akan ditawarkan kontrak amatur dimana mereka ini dibayar elaun bulanan, skim perlindungan insuran dan beberapa lagi manfaat lain.

Selain daripada itu, KFC juga mewujudkan program kerjasama bersama penaja-penaja yang terlibat di dalam projek ini untuk membuka peluang pekerjaan melalui program kerjaya.

Dan setakat ini, seramai 9 pemain yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan, kini berjaya ditempatkan di syarikat-syarikat penaja yang memerlukan khidmat ataupun tenaga pekerja.

Bagi memastikan kelab terus berdaya saing baik dari segi prestasi mahupun kewangan, selaras dengan matlamat Kerteh FC menjadi sebuah kelab yang berjaya dalam masa 20 tahun akan datang, mereka telah melakukan banyak perancangan dan program bagi merealisasikan impian tersebut.

Antaranya, yang menjadi tumpuan merkea sekarang adalah membina kelestarian kewangan kelab yang stabil.

Jika dilihat pada laporan kewangan tahun 2018, walaupun Kerteh FC mencatat keuntungan sebanyak 21%, namun ianya masih belum mencukupi untuk menampung operasi keseluruhan kelab tersebut.

Disebabkan itu, mereka merangka pelan kewangan bagi tahun 2019 yang mana mereka telah mula mempelbagaikan sumber pendapatan kelab.

PELAN TAMBAHAN KEWANGAN
Program penajaan.
Pelan agihan kewangan.
Pelan pembangunan akademi.
PERSIAPAN TAL 2019

Menurut sumber Kerteh FC, mereka telah berlatih selama lebih 15 bulan bagi menghadapi TAL musim 2019.

Dengan peringkat awalnya, latihan hanya dijalankan dua kali seminggu dan dua bulan sebelum bermulanya TAL, mereka mula menjalani latihan lima kali seminggu.

Dan hasilnya, mereka berjaya mencipta kejayaan berganda pada musim pertama penampilan mereka dalam TAL.

Satu pengorbanan dan hasil kerja keras pemain dan pihak pengurusan dalam memajukan diri nyata memberikan kepuasan yang sukar untuk digambarkan.

TIDAK MAHU TERLALU GHAIRAH

Walaupun berjaya mencipta kejayaan yang amat membanggakan, namun Kerteh FC masih kekal dengan perancangan asal mereka dalam membangunkan pasukan dan tidak mahu terlalu gelojoh mengejar ‘glamer’ untuk beraksi diperingkat lebih tinggi dalam Liga Malaysia.

Pernah ditawarkan untuk beraksi dalam saingan M3, namun mengira semua faktor, terutamanya kewangan, Kerteh FC terpaksa melupakan seketika peluang tersebut sebelum mengukuhkan pasukan.

Ukur baju di badan sendiri

pUn begitu, mereka tetap berharap untuk beraksi di Liga Super Malaysia suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai bersama-sama dengan kewangan dan sumber pendapatan kelab yang kukuh.

Semoga terus maju Kerteh FC!

#SatukanSuara #TheOilers.

About MyGooners 906 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment