Real Madrid dan Barcelona sertai parti buruan dapatkan khidmat Jack Grealish

Manchester United berdepan saingan hebat untuk mendapatkan khidmat Jack Grealish selepas Real Madrid dan Barcelona juga telah menyatakan minat mereka terhadap pemain Inggeris ini.

United telah menjadikan kapten pasukan Aston Villa tersebut sebagai sasaran utama mereka pada musim panas akan datang, namun perlu berusaha kuat untuk meyakinkan Grealish untuk berpindah ke Old Trafford.

Menurut The Sun, kedua-dua kelab gergasi Sepanyol tersebut telah mula memerhatikan perkembangan pemain ini selepas beraksi baik walau kelabnya tidak konsisten dalam PL musim ini dan berdepan penyingkiran liga.

Ini menjadi satu tamparan hebat buat United, yang telah menjadikan Grealish sebagai sasaran nombor 1 mereka selepas James Maddison menafikan sebarang minat daripada kelab lain untuk kekal bersama Leicester City.

Usaha United mungkin akan terbantut andai mereka gagal menawarkan bolasepak Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Mereka kini ketinggalan enam mata di belakang Chelsea di tempat keempat.

Grealish, 24 tahun, menjadi pemain kunci skuad bimbingan Dean Smith musim ini, mengetuai pasukannya mara ke perlawanan akhir Piala Carabao selain menyumbang sembilan gol dan lima bantuan gol dalam 23 penampilan dalam semua kejohanan.

Neil Warnock telah menggesa United untuk menandatangani Grealish keran dia percaya Grealish mempunyai aura yang lebih kurang sama seperti legenda kelab Eric Cantona.

“Manchester United kini berada dalam situasi mereka hanya perlu mengeluarkan duit sahaja bukan?” katanya kepada talkSPORT

“Saya rasa ia boleh jadi satu penambahan yang baik buat mereka. Saya fikir dia boleh memberikan sesuatu kepada mereka.

“Saya tidak mahu anda salah tafsirkannya, tetapi apabila kamu memikirkan tentang Cantona dan orang akan menganggap pemain sepertinya mempunyai sesuatu yang luar biasa.

“Dia boleh menjadi pemain yang hebat untuk mereka.” katanya lagi.

Jack Grealish, pemain kelahiran Birmingham ini telah menyertai Villa sejak dari remaja lagi, bermula dengan skuad bawah 18 tahun pasukan pada 2012 sebelum diserap ke skuad bawah 23 tahun kemudian ke skuad senior pada tahun berikutnya.

Dia bermain dengan kerap bersama skuad utama bermula musim 2014/15, kemudian terpaksa menanggung derita musim berikutnya selepas Aston Villa jatuh divisyen ke Championship pada musim 2015/16.

Grealish, diberi kepercayaan oleh pengurusnya untuk menjadi nadi utama ketika bermain di atas padang, telah membantu Villa kembali naik divisyen ke PL musim ini selepas berjaya menduduki tempat kedua Championship musim 2018/19 di belakang Norwich City.

Be the first to comment