West Ham United akan melantik Kevin Nolan sebagai jurulatih skuad utama

Bekas kapten pasukan West Ham, Kevin Nolan akan dilantik menjadi jurulatih pasukan utama kelab bersama-sama Paul Nevin.

Kedua-dua mereka akan menyertai pasukan jurulatih David Moyes sebagai salah satu langkah untuk menyelamatkan kelab dari tersingkir liga musim ini.

Nolan, 37 tahun, pernah membuat lebih 150 penampilan untuk the Hammers, mempunyai pengalaman pengurusan bersama Leyton Orient dan Notts County.

KARIER PENGURUSAN KEVIN NOLAN

Kevin Nolan ketika menjadi pengurus Notts County

Jan 2015 – Apr 2016
Kelab: Leyton Orient
Jawatan: Pemain-Jurulatih
Jumlah perlawanan: 15 (Menang 7, Seri 2, Kalah 6)
Peratus kemenangan: 47%

Jan 2017 – Ogos 2018
Kelab: Notts County
Jawatan: Pengurus
Jumlah perlawanan: 84 (Menang 35, Seri 21, Kalah 28)
Peratus kemenangan: 42%

Manakala Nevin pernah menjadi sebahagian daripada pasukan jurulatih Gareth Southgate bersama skuad kebangsaan England, juga pernah menjadi jurulatih di Brighton & Hove Albion dan Norwich City.

Mereka akan dilantik pada hari Khamis nanti sedang Moyes mahu menyegarkan para pemainnya dengan idea jurulatih yang baru dan memperkasa mereka terhadap cabaran getir mempertahankan status PL.

Tugasan pertama mereka adalah pada hujung minggu ini apabila berhadapan dengan Manchester City.

David Moyes memberikan sinar gembira di awal pengurusannya sejak dilantik pada Disember lepas, memenangi dua perlawanan pertamanya menentang Bournemouth (PL, menang 4-0) dan Gillingham City (Piala FA, menang 2-0).

Tetapi dia gagal menang dalam enam perlawanan terakhirnya, termasuk seri 3-3 menentang Brighton hujung minggu lepas, di mana mereka gagal mempertahan pendahuluan dua gol sebelum terpaksa berpuas hati dengan satu mata di akhir perlawanan.

Bekas pengurus Manchester United ini memerlukan segala bantuan dari segi tenaga jurulatih untuk membawa pasukannya keluar dari zon penyingkiran.

The Hammers kini berada di kedudukan ke-18 liga dengan 24 mata, satu mata beza dari tempat ke-17 iaitu Aston Villa.

Be the first to comment