“Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku” – Alex Song

Alex Song

Alex Song antara dari sembilan orang yang dipecat serta-merta oleh pemilik kelab FC Sion, dan kini bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas majikannya itu.

Dia dipecat kerana dikatakan enggan menerima potongan gaji ketika kelab dan negara berdepan pandemik coronavirus.

Bekas pemain Arsenal ini, termasuk rakan sepasukannya di Arsenal Johan Djourou dipecat kerana gagal memberi respon terhadap pesanan WhatsApp skuad yang dihantarkan daripada presiden kelab Christian Costantin atau menolak tawarannya.

Constantin mahu pemain-pemain Sion menerima tawaran ‘pengangguran teknikal’ di mana mereka akan menerima gaji yang telah dipotong sekitar £10,750 untuk membantu kelab berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang berpunca dari musim liga yang dihentikan sementara waktu.

Song telah memberikan versi kenyataannya dan bersedia untuk mengheret Sion ke mahkamah atas sebab dia tafsirkan sebagai pemecatan tidak adil.

Bekas pemain antarabangsa Cameroon itu memberitahu kepada RMC Sport: “Peguam saya akan menguruskannya. Mari pergi kepada FIFA, dan mempertahankan hak kami.

“Kami bermain satu perlawanan persahabatan pada hari Jumaat (20 Mac) dan sepatutnya berjumpa dengan Presiden pada hari Isnin, dan kemudian hari Selasa. Tetapi kami tidak dapat berita.

“Kami menerima pesanan WhatsApp pada tengahari Selasa memberitahu kami yang semua perlu menandatangani satu dokumen yang menyatakan gaji kami dikurangkan, dan kami akan dibayar sekitar £10,750.

“Kami perlu memulangkan dokumen ini pada tengahari keesokan hari.

“Kami menerima dokumen ini tanpa penjelasan yang lain.”

Song menjelaskan dia enggan memulangkan dokumen ini tanpa memahami implikasinya dengan jelas.

Bekas pemain Barcelona ini menambah: “Saya seorang pemain bolasepak, ini bukan kerja saya.

“Ada orang lain yang boleh mengesahkannya. Saya tidak dapat menandatanganinya, kami tidak ada apa-apa perbincangan pun.

“Kesemua kelab sedang berbincang pada hari ini. Kapten kami tidak tahu menahu mengenai hal ini.

“Kami bersama-sama membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen ini. Kami mahu berbincang.

“Saya tidak melakukan sebarang kesalahan profesional. Semua kelab mengadakan perbincangan dengan para pemain mereka untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kami tidak faham apa yang berlaku, tiada seorang pun yang akan faham.”

Selain Song dan Djourou, pemain-pemain lain yang dilepaskan oleh FC Sion adalah Christian Zock, Patjim Kasami, Ermir Lenjani, Xavier Kouassi, Birama Ndoye, Mikael Facchinetti, dan Seydou Doumbia.

Mereka menerima sokongan Persatuan Pemain-Pemain Switzerland (SAFP), yang telah memprotes pemecatan mereka yang dikatakan tidak adil.

Satu surat telah dihantar oleh SAFP kepada Sion bertulis: “Anda telah menamatkan kontrak pekerjaan pemain-pemain tanpa notis bersurat bertarikh 18 Mac 2020.

“Kami dengan ini mahu menyuarakan protes kami terhadap pembuangan tanpa notis ini.

“Kami berharap anda dapat menarik balik pembuangan ini dengan segera dan mengadakan perbincangan untuk mencari alternatif yang lain.

Song menyertai Sion dari Rubin Kazan secara percuma pada Ogos 2018. Dia sudah bermain 22 perlawanan untuk pasukan Switzerland ini.

Kelab ini berada di tempat ketiga tercorot dalam Swiss Super League sebelum bolasepak digantung di negara tersebut pada penghujung Februari.

Alex Song juga pernah beraksi untuk West Ham United dari 2014-2016

Be the first to comment