Masa depan saya masih belum pasti: Mustafi

Shkodran Mustafi

Shkodran Mustafi mengakui masa depannya di Arsenal masih samar-samar walaupun sering mendapat peluang bermain di bawah pengurusan Mikel Arteta.

Pemain berusia 27 tahun ini telah diberitahu oleh bekas pengurus kelab Unai Emery yang dia boleh meninggalkan kelab pada musim panas lepas, dan dia langsung tidak disenaraikan dalam skuad perlawanan PL musim ini sehingga hujung November.

Pada Februari lalu, dia enggan menolak kemungkinan meninggalkan kelab pada penghujung kempen 2019/20, tetapi dia juga membayangkan untuk kekal lebih lama di utara London bekerja di bawah Arteta.

Kontraknya bersama Arsenal akan tamat pada Jun 2021.

“Saya bermain dengan lebih kerap di bawah Mikel Arteta, juga di dalam PL. Ianya sangat membantu saya.

“Saya rasa bagus. Saya memahami gaya permainan bolasepaknya, bagaimana cara dia suka bermain, dan sangat padan dengan saya,” katanya kepada Sky in Germany.

“Caranya pada usianya itu sangat mengejutkan saya.

“Saya tidak tahu andai selepas empat tahun, saya boleh menjadi serius sebegitu dan mempunyai karisma sepertinya untuk mengetuai sesebuah pasukan.

“Dia menguruskannya dengan baik. Saya rasa saya sudah pelajari banyak benda baru yang membantu dalam permainan saya dalam tempoh masa yang singkat ini.

“Saya boleh bayangkan untuk terus bermain untuknya.

“Tetapi kami masih belum tahu mengenai masa depan. Terlalu banyak tanda soal.”

Mustafi sudah membuat 18 penampilan untuk Arsenal dalam semua kejohanan musim ini

Mustafi memainkan peranan yang penting di Arsenal sejak Arteta dilantik menjadi ketua jurulatih kelab.

Dia masih belum pernah tewas dalam perlawanan liga tertinggi (dalam lima penampilan PL) untuk Arsenal pada tahun ini, dan telah membentuk gandingan mantap bersama David Luiz di bahagian pertahanan tengah.

Walaupun telah meningkatkan tahap persembahan bersama Arsenal, Mustafi tetap berhati-hati untuk merenungkan masa depannya di tengah-tengah ketidakpastian yang mengelilingi bolasepak Inggeris pada masa ini, akibat gangguan yang disebabkan oleh wabak virus Corona.

“Kita berada di dalam situasi di mana setiap orang bimbang mengenai situasi semasa dan bukan mengenai masa depan peribadi masing-masing,” tambahnya lagi.

“Pertama sekali, saya mahu kembali bermain bolasepak. Itulah bagaimana kami semua rasa, kami mahu kembali berada di atas padang.

“Terlalu banyak tanda soal buat masa ini.

“Euro 2020 telah ditunda. Sudah banyak perbincangan samada kami boleh menamatkan musim atau tidak.

“Jadi agak sukar untuk memikirkan mengenai masa depan saya.

“Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku seterusnya dan bila kami boleh bermain kembali.

“Selepas kami melalui tempoh yang sukar ini dan kembali ke atas padang, barulah saya boleh memikirkan soalan-soalan seperti itu.

“Saya tidak mahu memikirkannya pada masa ini. Kelab juga perlu menguruskan hal-hal yang lebih penting sekarang ini berbanding masa depan saya.”

Be the first to comment