Nasihat Mikel Arteta untuk Ainsley Maitland-Niles

Ainsley Maitland Niles

Ainsley Maitland-Niles seakan kehilangan tempat dalam skuad Mikel Arteta sejak kebelakangan ini. Di manakah puncanya?

Ketua Jurulatih Arsenal ini telah mencabar Maitland-Niles untuk ‘merendah diri’ selepas menyaksikan posisi bek kanan Arsenal diisi oleh Sokratis Papastathopoulos.

Sokratis, pemain pertahanan tengah Greece telah menyatakan bahawa bek kiri bukanlah posisi semula jadinya, namun dia tetap menggalas tugasan tersebut apabila diperlukan oleh Arteta.

Maitland-Niles antara pemain yang kerap digunakan pada minggu-minggu awal Arteta di Arsenal, bermain dengan baik sebagai seorang pemain inverted full-back yang boleh masuk ke tengah padang sebagai pemain tengah dari posisi bek.

Tetapi, dia kerap kali diletakkan di bangku simpanan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, memberikan posisi bek kanan kepada pilihan utama Hector Bellerin dan kemudian kepada Sokratis.

Arteta memberitahu kepada football.london: “Ainsley perlu merendah diri, kerja keras dan tunjukkan kepada saya dalam sesi latihan setiap hari yang dia mahukan lebih daripada ini melebihi orang lain, dan dia mahu bermain untuk kelab ini dan bersaing untuk tempatnya.”

Kata-kata tersebut seakan-akan serupa yang disampaikan kepada rakan-rakan sepasukan Maitland-Niles seperti Dani Ceballos dan Matteo Guendouzi, di mana kedua-dua mereka ini telah ditegur mengenai sikap mereka semasa sesi latihan pasukan.

Maitland-Niles hanya sempat berlari-lari anak ketika Arsenal mencatat kemenangan 2-0 ke atas Portsmouth dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA awal pagi tadi, dimasukkan pada minit kedua masa tambahan menggantikan Reiss Nelson.

STATISTIK AINSLEY MAITLAND-NILES 2019/20 (dalam semua kejohanan)

  • Jumlah penampilan: 24
  • Jumlah jaringan gol: 1
  • Jumlah bantuan gol: 2

Arteta juga sempat memuji sikap Sokratis walaupun dia terpaksa bermain di luar posisi asalnya, mengatakan dia seorang pemain yang boleh diharap.

“Dia sentiasa mempunyai sikap yang betul dan kualiti untuk bermain di posisi tersebut andai diperlukan dalam beberapa situasi.

“Kadang-kadang dia perlu mentafsir apa yang sedang dan akan berlaku, agak sukar untuk dirinya menggunakan ruang yang ada apabila kami memegang bola, tidak seperti apa yang lawannya mampu lakukan.

“Namun secara keseluruhan, dia melakukan dengan baik.”

Gaya jaringan gol Sokratis lawan Portsmouth awal pagi tadi.

Be the first to comment