Pedro dedahkan kesukaran hidup terpisah dengan anak-anaknya

Pedro

Pemain Chelsea, Pedro menceritakan kesukaran dirinya terpaksa berpisah dengan anak-anak dan keluarganya ketika tempoh berkurung virus Corona ini.

Anak-anak Pedro berada di negara kelahirannya Sepanyol manakala dirinya tidak dapat pergi ke sana kerana dia perlu kekal di United Kingdom.

Dia memberitahu di dalam website Chelsea: “Ianya sukar tidak dapat melihat anak-anak, ibubapa dan juga adik-beradik kita. Ia satu tempoh waktu yang sukar kepada kita semua kerana mereka tidak berada dekat kita.

“Kami sentiasa berhubung menerusi telefon, memberitahu apa kami lakukan semasa dalam pengasingan dan cuba untuk merapatkan hubungan sebaiknya.

“Sudah tentu kami mahu berada di sana tetapi atas sebab keselamatan, kami perlu berada di mana kami berada sekarang dan cuba mengharunginya sebaik mungkin.”

Pedro juga kerap menghubungi rakan-rakannya sementara Premier League masih lagi digantung sehingga 30 April – tetapi tarikh tersebut mungkin akan dipanjangkan lagi kerana pandemik virus corona masih berterusan.

“Saya bercakap dalam telefon dengan Kepa [Arrizabalaga] dan Marcos Alonso. Saya juga ada menelefon Jordi Alba.

“Saya juga masih menghubungi pemain-pemain lain juga, melihat bagaimana mereka mengendalikan situasi ini, dengan pemain yang tinggal bersendirian, kadang-kadang memang sukar.

“Sekarang ini saat-saat yang sukar dan kami sentiasa berhubung. Saya juga banyak bercakap dengan Azpi (Cesar Azpilicueta) dan kami sentiasa mengikuti berita-berita yang keluar dari kelab, latihan yang kami lakukan di rumah.

“Kami menunggu bila masa paling terdekat kami boleh memulakan kembali sesi latihan dan jika mungkin memulakan kembali musim ini.

“Perkara paling penting sekarang adalah semuanya kembali normal dan kita semua dapat keluar dari situasi ini secepat mungkin.”

Be the first to comment