Phil Foden berharap dapat panggilan sertai skuad kebangsaan England

Phil Foden

Pemain Manchester City ini berharap dapat sertai skuad senior England selepas menampilkan aksi yang memberangsangkan dalam perlawanan akhir Piala Carabao.

Pemain berusia 19 tahun ini telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas kemenangan 2-1 City ke atas Aston Villa di Wembley pada Ahad lepas.

Pemenang Piala Dunia 2017 bawah 17 tahun ini sering diperkatakan mempunyai masa depan yang cerah sebagai pemain skuad kebangsaan England, namun kekurangan penampilan bersama City menghadkan peluang panggilan dari Gareth Southgate.

“Saya mahu berada di sana. Tetapi saya tahu agak sukar dengan pilihan pemain yang telah berada di sana,” kata Foden.

“Saya berharap Gareth dah tengok dan suka apa yang dia lihat.”

“Ini sahaja yang saya boleh lakukan sekarang – tunjukkan kemampuan saya setiap kali saya bermain dan lihat hasilnya nanti.

“Kami tidak banyak bercakap mengenainya tetapi dia ada cakap ada beberapa tempat lagi, juga dia sentiasa memerhatikan saya.”

Foden ditunjukkan jalan yang mudah oleh pengurus City, Pep Guardiola untuk masuk ke skuad utama pasukan sejak tiga musim lepas.

Guardiola mengakui Foden adalah pemain terbaik yang pernah dia lihat, walaupun dia pernah menguruskan skuad hebat Barcelona yang dibintangi Lionel Messi.

Pengurus Sepanyol ini juga menyatakan berulang kali bahawa City tidak perlu menandatangani pemain baru bagi menggantikan David Silva kerana Foden sudah bersedia untuk mengambil alih peranan Silva.

“Jika pengurus sudah bercakap seperti itu, ia menambah kepercayaan dalam diri dan lebih berani untuk terus bermain dengan baik.

“Dengan pengurus sentiasa menyokong anda, dia akan membantu anda untuk menjadi lebih baik,” tambah Foden.

“Dia percaya dengan saya dan memberikan keyakinan kepada saya semasa berada di atas padang, dan dia sentiasa mencuba untuk membantu saya setiap hari.”

Be the first to comment