“Saya boleh bergerak, saya baik-baik saja” – Lucas Torreira.

Bintang Arsenal bercakap kepada media negaranya selepas mengalami kecederaan yang mencemaskan.

Lucas Torreira menerima kecederaan pada buku lalinya dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Portsmouth bagi saingan Piala FA awal pagi tadi.

Pemain tengah itu menerima hadangan (tackle) dari belakang yang dilakukan pemain Portsmouth, James Bolton pada awal permainan babak pertama.

Beliau kemudian dilihat terbaring sambil memegang pergelangan kakinya dan kemudian diusung keluar.

Dani Ceballos kemudian masuk menggantikannya pada minit ke-16.

Ketua Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta memberikan sedikit penjelasan mengenai kecederaan pemain berusia 24 tahun itu selepas perlawanan berakhir.

“Dia berada dalam kesakitan. Dia menggunakan alat sokongan kecederaan pada masa ini, dia akan dinilai dalam beberapa hari akan datang.

“Dan kami akan tahu dengan lebih lanjut selepas itu.

“Saya tidak tahu sama ada tulang atau ligamen, kita belum tahu, “jelas Arteta dipetik sebagai berkata oleh laman web rasmi Arsenal.

ESPN Uruguay juga telah mengumpulkan maklumat mengenai kecederaan pemain Arsenal ini dan tajuk laporan mereka berbunyi ‘Torreira berikan kelegaan selepas diusung keluar’.

Keadaan kaki Torreira. Kredit gambar ESPN Uruguay.

Walaupun terdapat kebimbangan awal mengenai status kecederaan pemain Amerika Selatan ini, namun Torreira telah menolak sebarang kebimbangan serius berhubung status dirinya.

Beliau menjelaskan bahawa dirinya berada dalam keadaan baik (tidak terlalu serius mengenai kecederaannya itu).

“Saya mahu menyentuh bola dan dia datang merangkul pergelangan kaki dari luar.

“Ia membuatkan saya terkehel, tapi saya mampu bergerak. Saya baik-baik saja.” jelas Torreira kepada ESPN.com.uy

Arsenal mempunyai tiga lagi perlawanan sebelum rehat antarabangsa pertama pada kalendar tahun ini, pada bulan Mac.

Dan ESPN tidak menyebut berapa banyak perlawanan yang Torreira bakal terlepas sebelum mampu kembali beraksi.

About MyGooners 866 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment