“Saya bukan pemain yang mengikuti apa yang tertulis di dalam kontrak saya” – Sokratis Papastathopoulos

Pemain pertahanan tengah Greece, Sokratis Papastathopoulos memberi bayangan yang dia mungkin akan keluar dari Arsenal andai masih kurang mendapat minit perlawanan musim ini.

Dia menegaskan dia tidak akan menghabiskan kontrak semasanya di Arsenal, dan melihat peluang untuk berpindah keluar andai situasinya tidak berubah.

Pemain berusia 31 tahun ini dipinggirkan dalam kebanyakan perlawanan kebelakangan ini kerana Mikel Arteta lebih gemar menggandingkan David Luiz dan Shkodran Mustafi di bahagian pertahanan tengah.

Sokratis memulakan tiga dari lima permulaan perlawanannya bermain di posisi bek kanan, yang bukan posisi kegemarannya, termasuk ketika menentang Portsmouth awal pagi tadi.

Gol tersebut merupakan yang ketiga peribadinya untuk Arsenal musim ini selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan PL ketika menentang Crystal Palace (H) dan Manchester United (H).

Dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA itu, Sokratis bermain di posisi bek kanan, beraksi dengan agak baik menurut pandangan Arteta, di samping menjaringkan satu gol pada masa tambahan separuh masa pertama.

Ketibaan Sokratis ke Stadium Emirates dari Borussia Dortmund pada 2018 sangat diraikan oleh peminat the Gunners bagi memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan.

Namun perkara yang diharapkan tidak menjadi semasa era pengurusan Unai Emery.

Dan prestasinya pada awal musim ini dianalisa oleh Arteta untuk memperbaiki mutu pertahanan kelab.

Sokratis Papastathopoulos meraikan jaringan menentang Portsmouth

Sokratis mempunyai kontrak sehingga musim panas tahun hadapan.

Peluangnya di kelab kelihatan semakin menipis selepas Arteta mula menggunakan Pablo Mari ketika menentang the Pompey, dan William Saliba juga akan kembali ke kelab pada musim panas nanti.

Apabila ditanya adakah dia akan meninggalkan kelab pada tahun hadapan, dia menjawab: “Saya tidak tahu,”

“Saya masih mempunyai setahun lagi di sini, tetapi bagi saya, saya tidak akan menuruti kontrak saya.

“Saya tidak peduli. Jika saya tidak gembira, saya tidak cukup bermain atau jurulatih tidak menyukai saya, saya tidak mengambil kisah mengenai kontrak.

“Duit tidak penting bagi saya.

“Yang penting adalah saya berasa bagus, gembira dan pasukan juga gembira apabila saya berada bersama mereka.

“Jika tidak, saya akan berjalan keluar.

“Saya tidak memikirkan mengenainya, saya berfikir setiap hari untuk berasa gembira dan membantu pasukan dan kita akan lihat pada penghujungnya nanti.

“Tetapi apa yang saya mahu jelaskan bahawa saya bukanlah seorang pemain yang menuruti kontrak – saya tidak memerlukannya.” tambah Sokratis lagi.

Sehingga perlawanan menentang Portsmouth awal pagi tadi, Sokratis sudah membuat 66 penampilan bersama the Gunners dalam semua kejohanan, menjaringkan enam gol, selain mencatat 20 clean sheet.

Be the first to comment