10 Pemain No.10 Terbaik Sepanjang Zaman.

BOLASEPAK moden, sama ada ianya masih lagi sukan yang menghiburkan dengan penuh ‘kesenian’ dan keindahan tersendiri, ataupun ianya kini lebih kepada perniagaan.

Melalui fasa pembaharuan ataupun evolusi, bolasepak moden menampilkan ciri-ciri berbeza sebagaimana yang pernah kita tontoni ataupun nikmatinya sebelum ini.

Terpulang kepada masing-masing untuk menikmatinya, namun yang pasti, pada era ini, keputusan perlawanan adalah lebih diutamakan berbanding keindahan dan seni bermain bolasepak itu sendiri.

Jadi, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa bolasepak moden adalah segalanya mengenai keputusan perlawanan, yang berpaksikan kepada perniagaan.

Pun begitu, bolasepak moden masih lagi ‘enjoy’ untuk disaksikan, namun bagi mereka yang masih lagi sedang dalam fasa perubahan, pastinya merindui beberapa detik dan peranan tertentu yang menarik dalam aksi bolasepak sebelum ini, yang mana ianya bakal lenyap ditelan bolasepak moden.

Masih terdapat peminat yang masih menghargai kenikmatan dalam keindahan permainan bolasepak dimana mereka masih mahu serta merindui untuk melihat pemain yang melakukan aksi melangkaui imaginasi kita, melakukan aksi ajaib dengan kaki mereka.

Antara yang bakal dirindui adalah peranan pemain Nombor 10, yang mana pemain ini sering memikul amanah dan diberikan kepercayaan untuk membantu mencipta kemenangan pasukan.

Senarai ini mungkin tidak selengkap ataupun memenuhi citarasa anda selaku pembaca, mungkin terdapat pemain yang tertinggal untuk disenaraikan dan ianya terbuka untuk dibincangkan.

Pele masih dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dan mengagumkan serta sentiasa berada dalam senarai pemain terbaik.

Tetapi kami merasakan beliau bukanlah jenis pemain yang kami cari dan beliau tidak kerap bermain sebagai pemain tengah dan kami akan ulaskan perihal beliau pada tampalan yang lain.

Dan ini juga bukanlah satu keputusan yang mudah untuk menyenarikan 10 pemain nombor 10 terbaik tanpa beliau.

Roberto Baggio – ‘the Divine Ponytail’, mencuri perhatian dunia pada Kejohanan Piala Dunia 1990 dan Enzo Francescoli – ‘The Elegant Prince’, juga merupakan salah seorang pemain terbaik pada generasi itu, tetapi kedua-duanya kami tinggalkan (tidak disenaraikan) dalam pilihan kali ini.

Enzo Francescoli bekas pemain kebangsaan Uruguay yang dikenali dengan nama gelaran The Elegant Prince.

Kaka, Gheorghe Hagi, Francesco Totti, Preben Elkjær, Ruud Gullit … mereka semua mungkin berada dalam senarai anda semua selaku pembaca dan peminat bolasepak.

Tetapi di sini kami senaraikan pemain yang benar-benar berjiwa No.10 untuk 10 pemain Nombor 10 Terbaik di dunia, yang pernah ada.

10. Dennis Bergkamp

Secara teknikal, tidak ramai pemain, sama ada sebelum atau selepas era beliau dapat dipadankan.

Dengan kawalannya yang begitu menakjubkan ketika bertemu Argentina pada Piala Dunia 1998 dan dengan langkah hampir sama di Filbert Street menentang Leicester City, beliau mampu mengalahkan lawan dengan kemahiran, kelicikan dan hantaran membunuh.

Di Arsenal, Ian Wright dan Thierry Henry mendapat manfaat daripada sikap tidak tamak pemain Belanda itu.

Bergkamp merekodkan 94 bantuan gol untuk Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.

Dilahirkan daripada akademi Ajax, beliau mempunyai tempoh yang sukar di Inter Milan sebelum Bruce Rioch membawa beliau ke Arsenal pada Jun 1995.

Tempoh 11 tahun bersama Arsenal, beliau mencipta peluang yang tidak terkira banyaknya untuk The Gunners dan juga menjaringkan gol lebih 100 gol termasuklah jaringan yang sangat menakjubkan ketika bertemu Newcastle United.

9. Zinedine Zidane

Kebanyakan aksi Zinedine Zidane sering diingati ketika beliau beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis, terutamanya ketika membantu negaranya memenangi Piala Dunia pada tahun 1998.

Namun sebelum beliau menjaringkan dua golnya di final, Zidane dilihat tidak memberi impak yang jelas.

Kad merah di peringkat kumpulan (ketika menentang Arab Saudi) menunjukkan sekilas sisi gelapnya, melangkah keluar pada minit ke-71 di Stade de France.

Pun begitu, aksi beliau seterusnya memang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Embed from Getty Images

Beliau bangkit untuk memberikan satu persembahan terbaiknya buat Les Bleus pada perlawanan akhir, menentang Brazil untuk muncul juara Piala Dunia dengan menyumbangkan dua gol.

Bermain menetang Sepanyol dan Brazil pada tahun 2006, Zizou yang berusia 34 tahun menghidupkan kembali nostalgia kehebatan dirinya dalam penguasaan bolasepak.

Seorang pemain yang menjadi legenda untuk setiap kelab yang diwakilinya, beliau membawa Juventus dan Real Madrid ke satu peringkat yang menakjubkan ketika bersama mereka.

Rembatan volley yang menakjubkan ketika bertemu Bayer Leverkusen di final Liga Juara-Juara di Glasgow pasti sentiasa diingati oleh peminat dan tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah Galactico sejati.

8. Michael Laudrup

Michael Laudrup bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pasukan ‘Dream Team’ Johan Cruyff, malah beliau juga merupakan pemain utama dan berkelas dunia.

Pemain terbaik Denmark, salah seorang bintang luar terbaik yang pernah bermain di Sepanyol dan sebahagian daripada kesebelasan terhebat Real Madrid.

Kehebatan beliau membuatkan tidak ramai pemain yang berjaya melepasi pencapaian seperti Laudrup.

Raul, Anders Iniesta dan Pep Guardiola semuanya menggambarkan Laudrup sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, dengan Romario, Hristo Stoichkov dan Luis Figo pula menamakannya sebagai pemain terhebat yang pernah mereka bermain bersama atau sebagai lawan.

Selain kepantasan, Laudrup juga memiliki skill yang tinggi dan ini memberikan imej seorang pemain elegan kepadanya.

Dan dengan keupayaannya juga terhadap bola, ia dapat bermain hampir di mana saja pada bahagian serangan.

Sebagai seorang pemain yang hampir menyamai kehebatan Michel Platini, tetapi dengan teknik yang mampu mencabar Bergkamp, Laudrup mempunyai kesemuanya ciri-ciri yang ada pada kedua-dua pemain tersebut.

Keseimbangan yang luar biasa, penglihatan – vision dan kawalan bola yang mantap, namun sebagaimana Bergkamp, beliau juga merupakan seorang pemain yang tidak tamak – yang mana ia menyebabkan rekod jaringan beliau tidaklah begitu banyak.

7. Ronaldinho

Jika Real Madrid menandatangani David Beckham untuk nilai pasarannya, Barcelona pula mempertaruhkan nasib mereka terhadap Ronaldinho, apabila menandatanganinya dari Paris Saint-Germain.

Nyata pemain Brazil itu tidak mengecewakan Barcelona.

Ronaldinho boleh dikatakan ataupun diibaratkan sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan satu pasukan dalam peralihan kuasa untuk kelab Sepanyol yang kita kenali hari ini.

Mempamerkan aksi bolasepak yang mempesona, menggerakkan bola dengan cara yang pastinya tidak mungkin secara fizikal, beliau dianggap sebagai pemusnah berjaya dalam menghancurkan Real Madrid dengan begitu teruk di Santiago Bernabeu.

Memiliki bakat dan kebolehan yang sukar untuk digambarkan pada ketika itu, beliau sememangnya mampu melakukan apa yang pemain masa kini lakukan.

Hantaran ‘no-look passes’ menjadi ‘trademark’ beliau bagi sebilangan peminat dan pada waktu kita sedang memikirkan apakah yang akan dilakukan Ronaldinho, beliau sudahpun melakukannya dan memberikan sesuatu yang lain.

Pelbagai Anugerah Pemain Terbaik Tahunan berjaya diraihnya dengan dua gelaran La Liga dan Liga Juara-juara 2005/06, telah berjaya mengekalkan prestasi dan persembahannya untuk tempoh yang lama.

Mungkin ada yang merasakan bahawa beliau layak untuk berada pada tangga yang lebih tinggi dalam senarai ini.

Walaupun kelicikan dan hantaran memukaunya semakin hilang daripada pandangan kita, namun senyumannya akan tetap kekal dan sentiasa diingati.

6. Zico

Zico adalah seorang pemain yang mempunyai teknik yang menakjubkan, penglihatan – vision, hantaran tidak dapat ditandingi, serta keupayaan untuk menjaringkan gol.

Pelé pernah berkata: “sepanjang tahun, seorang pemain yang paling hampir dengan saya ialah Zico,” dan itu juga memberikan bekas pemain Flamengo nama julukan ‘Pele putih – white Pele’.

Beliau membuat penampilan lebih daripada 800 kali untuk kelab Brazil, menjaringkan 539 gol, dan dikenali sebagai salah seorang pemain terbaik dalam melakukan hantaran.

Malah beliau boleh dikatakan sebagai salah seorang pemain paling hebat untuk zaman tersebut, pada era tahun 1970-an dan awal 80-an.

Namun kehebatan beliau sedikit dicemari dengan kegagalan memenangani tiga Piala Dunia yang dimainkannya dalam tempoh ataupun era kegemilangan Brazil, yang begitu dominan.

Kegagalan memiliki trofi utama dunia, menyebabkan beliau kurang diberikan penghargaan namun itu tidak bermakna beliau tidak dikenang serta tidak diingati sepenuhnya.

Keupayaannya untuk melencongkan dan memanipulasi bola dengan kedua-dua kakinya serta dianggap pakar bola mati, beliau adalah Beckham sebelum pemain England itu mencuri tumpuan.

5. Michel Platini

FIFA menamakan pemain Perancis itu pemain keenam terbaik sepanjang masa dalam undian Player of the Century dan sukar untuk menafikan kehebatan pemenang tiga kali Ballon d’Or ini.

Michel Platini sangat luar biasa dengan bola di kakinya, mudah untuk dikatakan sebagai salah seorang pemain terbaik generasi beliau.

Seorang lagi pakar bola mati, beliau sangat menggerunkan apabila mengambil sepakan percuma walaupun dari jarak jauh.

Memeiliki kepantasan, mampu bermain di mana-mana posisi dalam bahagian serangan, beliau adalah pemain seorang playmaker yang mampu memecah dan mengatasi pihak lawan dengan mudah.

Walaupun tidak mempunyai fizikal seperti seorang atlet, namun beliau mampu memberikan satu persembahan yang mantap dengan tahap kecergasan dan tahap kerja yang sukar untuk dipertikaikan.

Menghantar dan memberikan bola kepadanya dan beliau pasti akan mencari jalan untuk mengalahkan lawan.

Platini juga cemerlang baik di udara (perebutan bola tinggi) atau di atas tanah (padang), membunuh pertahanan lawan dengan hantaran membunuh ataupun mengelecek secara terus, tiada apa yang tidak dapat dilakukannya.

Dianggap hero sebagai pemain, memenangi Kejuaraan Eropah 1984 bersama Perancis, karier di luar padang masih tidak dapat menandingi kejayaan tersebut.

4. Johan Cruyff

Pencipta kepada gerakannya sendiri, bapa kepada total football, pengaruh besar dalam permainan yang kita tidak akan mampu melihatnya lagi.

Legenda untuk kedua-dua kelab Barcelona dan Ajax, Johan Cruyff adalah seorang pemain yang begitu genius.

Pemain Belanda itu juga mampu melakukan tugasnya dengan begitu baik walaupun diletakkan dibahagian sayap, akan ‘berkeliaran’ ke semua kawasan yang berbeza di padang, mencari ruang yang tidak diketahui oleh pertahanan lawan.

Menolak dan menarik pemain yang mengawalnya dari kawasan yang luas, kembali ke kawasan penalti sendiri, beliau adalah mimpi ngeri untuk sesiapa yang ditugaskan mengawalnya dan satu kenikmatan untuk kita menyaksikannya.

Embed from Getty Images

Pemain yang paling kreatif bukan hanya pada generasi beliau, tetapi sepanjang zaman dalam sejarah bolasepak.

Cruyff mempunyai semuanya, teknik, kelajuan, pecutan hebat, visi untuk memilih melakukan hantaran dan kemahiran yang sukar ditemui masa kini, untuk mengalahkan pemain itu.

Pemikiran taktikal yang mungkin masih belum dapat ditemui mana-mana pemain ketika ini, beliau melihat perkara-perkara baik di dalam dan di luar padang yang pemain lain hanya mampu bermimpi mengikutinya.

3. Alfredo Di Stefano

Legenda dan perintis sebelum zamannya, Alfredo Di Stefano mungkin penyerang kedua pada asalnya.

Dinamakan oleh Pele, Eusebio dan John Charles sebagai pemain paling lengkap yang pernah mereka saksikan, 376 gol dalam 522 perlawanan memberikannya penghargaan yang sepatutnya sebagai salah seorang pemain penyerang terbaik, tetapi kemampuannya untuk turun bermain dibelakang pemain penyerang dan menjadi daya kreatif pasukan, membuat dirinya begitu menonjol dan dikenali sebagai pemain perancang.

Real Madrid menyenaraikan beliau sebagai pemain terbaik ketika bergandingan bersama Ferenc Puskas, memberikan Los Blancos kejuaraan yang tidak dapat ditandingi pada masa itu – memenangi lima Piala Eropah.

Embed from Getty Images

Pemain kelahiran Argentina, Sepanyol itu memenangi dua Ballon d’Ors dan lapan gelaran Liga Sepanyol dan merupakan salah seorang pemain terbaik yang pernah dunia bolasepak miliki.

2. Diego Maradona

Pandangan anda mengenai Diego Maradona bergantung kepada umur dan pasukan mana yang anda sokong.

Disifatkan sebagai ‘penjahat’ dan ‘penipu’ di England kerana aksinya menentang Three Lions, namun diangkat sebagai seorang hero yang begitu disanjungi di kota asalnya di Buenos Aires, Argentina.

Walaupun dilihat sedikit gempal, namun itu juga membantu dirinya dalam membetuk benteng dan membuatnya sukar untuk dihentikan apabila beliau mula berlari dengan membawa bola.

Kelajuan yang pantas dengan badan yang ‘sasa’ serta pusat graviti yang rendah, membantu beliau menewaskan lawan dengan larian pantas dan stabil dalam sekelip mata.

Bagaikan memenangi Piala Dunia 1986 dengan dirinya sendiri, anda hampir merasakan beliau menewaskan lawan dan memenangi kejohanan tersebut secara berseorangan.

Walaupun beliau tidak menjaringkan gol pada perlawanan final yang berkesudahan 3-2 berpihak kepada Argentina, menewaskan Jerman namun kelebihan gelecek yang dimilikinya disamping kawalan bola yang kemas serta ditambah pecutan larian kemas bersama bola berjaya membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986.

Dan kelebihan yang dimilikinya itu hampir sukar untuk dilihat pada masa kini serta ianya bagaikan melebihi kudrat manusia biasa.

Legenda untuk Barcelona, Boca Juniors dan Napoli, beliau sememangnya layak dinobatkan sebagai salah seorang pemain bolasepak terhebat sepanjang zaman, bukan hanya sebagai pemain No.10.

1. Lionel Messi

Sesuatu yang sukar untuk meletakkan pemain ini mengatasi lagenda negaranya sendiri, Diego Maradona.

Pasti tidak ramai yang gembira dengan kedudukan ini, namun kadang-kalanya kita dibutakan dengan nostalgia dan pemain hebat masa lalu.

Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, tiada sesiapa yang mampu menafikan kehebatan Lionel Messi sebagai pemain penyerang yang paling kreatif.

Messi telah menulis semula buku catatan rekod Barcelona, ​​yang mana ianya amat mengagumkan apabila dibandingkan dengan semua pemain yang pernah beraksi sebelumnya dengan beliau menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa kelab tersebut ketika baru berusia 24 tahun.

Apa yang lebih mengagumkan, beliau juga memegang rekod untuk paling banyak menghasilkan bantuan gol dalam sejarah La Liga.

Walaupun beliau akan sentiasa mencari jalan untuk menjaringkan gol, namun beliau tidak akan mengabaikan rakan sepasukan begitu juga dengan arahan pasuakan, demi mencari kemenangan.

Malah peralihannya ke dalam ‘False 9’ akan melihatnya sedikit kebawah, turun mengambil bola dan memulakan serangan untuk Barcelona, secara majoritinya.

Dengan lapan gelaran liga, empat kejuaraan Liga Juara-Juara, lima Ballon d’Ors dan lebih banyak rekod daripada Madonna, ia menakutkan apabila baru berusia 30 tahun.

Pada usia 32 tahun ketika ini, Messi telah merekodkan 6 kali sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA, 6 kali Ballon d’Or (yang merupakan paling banyak untuk mana-mana pemain bolasepak), 2 kali sebagai Pemain Terbaik UEFA di Eropah, 16 kali sebagai penjaring terbanyak (liga dan kejohanan Eropah) dan terlalu banyak untuk disenaraikan.

Dan ini melayakkan beliau untuk menduduki tangga teratas senarai 10 Pemain No.10 Terbaik sepanjang zaman.

About MyGooners 906 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment