Arsenal terpaksa menunggu lebih lama, keutamaan adalah kekal berada di kelab.

Thomas Partey

The Gunners dipercayai terpaksa menunggu lebih lama kerana Partey dilaporkan memberi keutamaan untuk kekal bersama Atletico Madrid.

Pemain tengah Atletico Madrid, Thomas Partey tidak akan mendengarkan mana-mana tawaran untuknya sehingga dia memberikan ‘kata putus’ kepada kelab itu.

Itu menurut Marca, yang mengatakan bahawa ‘keutamaan’ pemain tengah itu adalah untuk kekal berada di Atletico Madrid walaupun Arsenal dilaporkan berminat dengannya.

Baca : Kisah dan Rumors Perpindahan Partey disini.

The Gunners begitu kuat dikaitkan dengan perpindahan pemain kebangsaan Ghana ini dalam tempoh beberapa bulan terkini, malah terdapat laporan yang mengatakan bahawa pihak Mikel Arteta sedia membayar klausa pelepasan yang berjumlah €50 juta yang dimiliki pemain tersebut.

Kenyataan Ayah Partey pula seperti menuangkan minyak tanah dalam api apabila mengatakan anaknya itu sedang berunding dengan Arsenal mengenai klausa pelepasannya dan meminta anaknya untuk meninggalkan kelab Sepanyol itu.

Perkara itu beberapa kali telah dinafikan oleh ejennya dan sekarang Marca pula bagaikan menjirus air sejuk pada harapan Arsenal, setelah api begitu marak mengaitkan perpindahan ini.

Harapan menggunung sesetengah peminat dan penyokong untuk melihat pemain itu menyarung jersi Arsenal kini ranap, sebagaimana padamnya api yang disimbah dengan air sejuk, hanya asap sahaja yang kelihatan.

Menurut mereka, Partey berminat untuk kekal di kelab itu dan berhajat untuk menandatangani perjanjian baharu.

Tetapi setakat ini, beliau dikatakan masih ‘tidak berpuas hati’ dengan tawaran yang dibuat pihak Diego Simeone.

Atletico Madrid berminat untuk melanjutkan kontrak Partey yang tamat pada 2023 dan dalam perjanjian baharu itu juga akan meningkatkan lagi gajinya, selain meletakkan klausa pelepasan yang lebih besar kepadanya untuk menghalang minat dari pihak-pihak di seluruh Eropah.

Namun, Atletico juga dilaporkan masih gagal memenuhi ‘harapan’ Partey dengan pemain itu sedar bahawa dirinya kini mendapat permintaan tinggi dan dia boleh juga mendapat gaji besar di tempat lain.

‘Hati’ Partey kini memujuknya untuk kekal dan menerima tawaran Atletico, tetapi akalnya bertekad untuk ‘memerhatikan’ semua butiran dan memastikannya sama dengan nilainya sebelum menandatangani tawaran tersebut.

Perkembangan ini begitu menghampakan mana-mana pihak yang berhajat untuk mendapatkan khidmat Partey kerana jelas sekali beliau tidak berminat untuk berunding dengan mana-mana pihak sebelum memutuskan masa depannya bersama Atletico.

Selagi beliau tidak memberikan kata putus kepada tawaran baharu yang dibuat Atletico, maka semua pihak harus menunggu, menantikan jawapan muktamad Partey.

About MyGooners 904 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment