AS Roma hampir capai kata putus dengan Arsenal mengenai Henrikh Mkhitaryan

AS Roma dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Arsenal untuk mengekalkan Henrikh Mkhitaryan secara pinjaman selepas 30 Jun 2020.

Ini bertujuan untuk memastikan Mkhitaryan masih boleh bermain untuk kelab Itali tersebut untuk melengkapkan baki liga Serie A musim ini.

Roma berada di kedudukan kelima dalam carta liga Serie A, tiga mata di belakang pasukan tempat keempat Atalanta tetapi telah bermain lebih perlawanan berbanding kelab-kelab pesaing tempat empat pasukan teratas yang lain.

Mkitaryan sudah menjaringkan enam gol dalam 20 perlawanan untuk Roma setakat ini, dan berita ini dapat menaikkan moral pasukan untuk merebut slot Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain antarabangsa Armenia ini juga boleh dibeli secara tetap sekitar £20juta dari Arsenal.

Selain Mkhitaryan, Roma juga dilaporkan telah mencapai kata persetujuan dengan Manchester United untuk membenarkan pemain pertahanan tengah Inggeris, juga bekas rakan sepasukan Mkhitaryan di United, iaitu Chris Smalling untuk terus kekal di kelab selepas 30 Jun 2020.

Smalling menjumpai ‘nafas baru’ di Itali dan bermain dengan baik bersama Giallorossi sehingga menarik beberapa kelab Eropah lain termasuk Arsenal untuk mendapat khidmatnya secara tetap pada musim panas nanti.

Namun Roma mahu menjadikan perpindahannya kepada perpindahan tetap, dan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah boleh memberikan suntikan moral dan kewangan untuk membeli pemain ini dari United.

Namun, masih belum diketahui tarikh rasmi pembukaan jendela perpindahan musim panas kerana isu pandemik ini, dan berkemungkinan dan semua musim domestik sekitar Eropah akan dimainkan pada musim panas.

Itali berharap dapat memulakan kembali musim Serie A pada bulan Mei tetapi belum ada tarikh rasmi lagi.

Be the first to comment