FIFA cadang penggunaan lima pemain simpanan oleh setiap pasukan

FIFA

Badan induk bolasepak itu akan memberi kebenaran untuk membuat pertukaran pemain lebih daripada yang biasa apabila aksi bola sepak kembali.

Ini membolehkan para pemain kembali ke tahap kecergasan perlawanan.

FIFA membenarkan pasukan menggunakan lima pemain simpanan apabila bolasepak dimulakan kembali kerana kepadatan perlawanan yang disebabkan oleh pandemik virus corona.

Badan pentadbiran dunia bolasepak ini mencadangkan menaikkan kebenaran bilangan pertukaran pemain dari tiga ke lima dalam tempoh 90 minit perlawanan – dengan pertukaran keenam pada waktu tambahan dalam perlawanan kalah mati – untuk membantu mengatasi masalah kecederaan dengan banyak perlawanan akan dimainkan dalam tempoh masa yang pendek.

Dengan musim liga, piala-piala domestik dan pertandingan-pertandingan benua seperti Liga Juara-Juara Eropah atau Liga Europa yang menanti untuk ditamatkan, sesetengah pasukan akan berhadapan jumlah perlawanan yang banyak sebaik sahaja kempen 2019-20 dibenarkan untuk dimulakan kembali.

“Apabila kejohanan-kejohanan dimulakan kembali, kebanyakannya akan berhadapan kepadatan perlawanan yang lebih kerap berbanding kekerapan perlawanan-perlawanan yang dimainkan pada setiap minggu secara berturutan,” kata jurucakap FIFA

“Kesejahteraan para pemain merupakan salah satu keutamaan utama FIFA. Salah satu kerisauan adalah kekerapan perlawanan akan meningkatkan risiko potensi kecederaan kerana pemain-pemain digunakan secara berlebihan.

“Oleh kerana itu dan cabaran unik yang dihadapi global untuk melaksanakan pertandingan-pertandingan mengikut kalendar yang telah ditetapkan sebelum ini, FIFA telah mencadangkan angka pertukaran pemain yang lebih besar dibenarkan buat sementara bergantung dengan budibicara pengendali kejohanan.

“Di dalam pertandingan-pertandingan di mana kurang dari lima pemain gantian dibenarkan, kini setiap pasukan boleh menggunakan lima pemain gantian, dengan kemungkinan penambahan satu lagi pemain gantian ketika masa tambahan bila dirasakan wajar.”

Dalam kertas cadangan FIFA, perubahan peraturan ini akan digunakan sehingga 31 Disember 2021.

Ini bermakna semua pertandingan pada musim 2020/21 juga akan membenarkan lima pertukaran pemain – tetapi hanya tiga waktu rehat untuk tujuan pertukaran pemain dibenarkan untuk setiap pasukan bagi mengelakkan perlawanan-perlawanan berlarutan lebih lama.

Cadangan ini juga akan diaplikasikan dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa, dengan perlawanan kelayakan Piala 2022 juga terkesan dari isu pandemik ini.

Program kelayakan sudah pun terkebelakang dari jadual asal di Asia dan Amerika Selatan dan Eropah juga akan menghadapi masalah yang sama pada tahun hadapan selepas UEFA telah menangguh Kejohanan Eropah 2020 selama setahun.

Ini bermakna tarikh-tarikh perlawanan kejohanan tersebut akan dijadualkan pada bulan Jun.

Peraturan-peraturan ini perlu disahkan oleh badan pembuat undang-undang perlawanan, Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), tetapi, ianya dijangka akan menjadi formal.

Be the first to comment