8 pemain lagenda yang tidak bertuah.

Tidak semua pemain ternama dan digelar lagenda memenangi anugerah berprestij.

Mereka mungkin memenangi kejuaraan diperingkat tertinggi baik bersama kelab mahupun ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Ballon d’Or adalah anugerah bolasepak tahunan yang disampaikan oleh majalah berita Perancis, France Football yang merupakan salah satu penganjuran anugerah tertua dan umumnya dianggap sebagai anugerah individu paling berprestij untuk pemain bolasepak .

Ia telah diperkenalkan sejak tahun 1956, walaupun antara tahun 2010 dan 2015, perjanjian dibuat bersama FIFA, dan penghargaan itu digabungkan buat sementara dengan anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA (ditubuhkan pada tahun 1991) dan dikenali sebagai FIFA Ballon d’Or.

Namun, perkongsian itu berakhir pada tahun 2016 dan penghargaan itu dikembalikan kepada Ballon d’Or, sementara FIFA juga kembali ke anugerah tahunan tersendiri mereka Pemain Lelaki Terbaik FIFA.

Penerima anugerah gabungan FIFA Ballon d’Or dianggap sebagai pemenang bagi kedua-dua penganjuran anugerah tersebut.

Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mempunyai 11 gelaran Ballon d’Or di antara mereka, namun kumpulan nama legenda ini kempunan memenangi anugerah paling berprestij itu sepanjang karier mereka.

Berikut adalah tujuh pemain lagenda yang gagal memenangi anugerah paling berprestij ini.

1. Thierry Henry

Antara 2001 hingga 2006, bekas penyerang Arsenal itu berada di kemuncak prestasinya.

Dia bukan saja menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dalam empat daripada lima musim berkenaan malah dia turut meledak 29 gol dalam 52 perlawanan Liga Juara-Juara – pertandingan yang menjadi kayu ukur nilai pemain di pentas dunia.

Namun pencapaian terbaiknya dalam anugerah Ballon d’Or ialah di tempat kedua, iaitu pada 2003 di mana dia tewas kepada Pavel Nedved.

2. Paolo Maldini

Dia dianggap pertahanan terbaik pernah hadir dalam permainan bolasepak.

Ikon AC Milan itu memenangi 25 trofi, termasuk tujuh gelaran Serie A dan lima Liga Juara-Juara.

Tetapi di sebalik kehebatannya, dia sentiasa dibayangi rakan sepasukan yang lebih mendapat perhatian seperti Andriy Shevchenko, Kaka, George Weah, Marco Van Basten dan Ruud Gullit, yang semuanya pernah memenangi Ballon d’Or.

Pencapaian terbaiknya ialah di tempat ketiga pada 1994 dan 2003.

3. Xavi

Nadi corak permainan tiki-taka Barcelona ini beraksi sebanyak 767 kali untuk kelab Catalan itu.

Sepanjang tempoh itu dia memenangi pelbagai anugerah, termasuk tersenarai dalam pasukan terbaik UEFA sebanyak lima kali dari 2008 hingga 2012.

Bagaimanapun gelaran Ballon d’Or seakan mengelak darinya, walaupun dia membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010 dengan menyempurnakan rekod 91 peratus hantaran lengkap.

Dia sekadar menghuni tangga ketiga sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2009 hingga 2011.

4. Ferenc Puskas

Penjaring 84 gol dalam 85 perlawanan untuk Hungary dan 622 gol untuk kelabnya namun masih gagal untuk memenangi Ballon d’Or walaupun sekali sepanjang kariernya.

Legenda Real Madrid itu memenangi lima gelaran La Liga dan tiga trofi Liga Juara-Juara.

Namun dia sekadar melihat rakan sepasukan, Alfredo Di Stefano memenangi gelaran itu sebanyak dua kali.

Pada 1960, Puskas menduduki tempat kedua dan beliau boleh dianggap sebagai pemain terbaik yang tidak pernah memenangi gelaran ini.

5. Kenny Dalglish

Penyerang Scotland ini merupakan pemain terbaik yang pernah dilahirkan negara itu.

Dibeli daripada Celtic pada 1977 bagi menggantikan Kevin Keegan, yang setahun kemudian memenangi Ballon d’Or, Dalglish berdepan persaingan sengit untuk gelaran itu.

Pada musim pertamanya dia meledak 31 gol untuk Liverpool dan 25 gol pada musim berikutnya.

Persembahan cemerlangnya membawa Liverpool memenangi tiga kejuaraan Eropah pada 1978, 1981 dan 1984.

Pada 1983, dia tewas kepada Michel Platini untuk gelaran Ballon d’Or.

6. Andres Iniesta

Pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak Sepanyol dengan 35 trofi, termasuk sembilan gelaran La Liga dan empat Liga Juara-Juara.

Dia merupakan tonggak kepada musim ‘treble’ bersejarah Barcelona pada 2009 dan 2015.

Iniesta turut menjaringkan gol kemenangan ke atas Belanda pada final Piala Dunia 2010.

Namun dalam perebutan gelaran Ballon d’Or, dia sekadar di tempat kedua pada 2010, keempat (2011) dan ketiga (2012).

7. Bobby Moore

Pemain paling hebat dalam sejarah England, kapten skuad juara Piala Dunia 1966 itu tidak pernah memenangi gelaran Ballon d’Or.

Dia melakukan tugas cemerlang mengawal Eusebio, pemenang Ballon d’Or 1965, dengan hanya membenarkan satu gol dibolosi menerusi sepakan penalti, ketika separuh akhir Piala Dunia 1966.

Sebaliknya, Bobby Charlton dinobatkan pemain terbaik dunia selepas England memenangi piala berprestij itu buat pertama kali pada tahun berkenaan.

Moore tewas kepada peledak Jerman Gerd Muller pada 1970, tahun sama dia diingati kerana terjahan ke atas Jairzinho dan pelukan daripada Pele selepas perlawanan.

8. Gianluigi Buffon

Lev Yashin pada tahun 1963 merupakan satu-satunya penjaga gol yang telah memenangi Ballon d’Or.

Namun lagenda Juventus ini gagal menyertainya dan sangat teruja tertanya-tanya kiper mana yang menerima anugerah ini selepas Yashin.

Kehebatan Buffon yang memiliki konsistensi dan kecemerlangan dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi, masih kempunan sehingga kini.

Kegagalan menjuarai Liga Juara-Juara dalam tiga kali percubaan mungkin menjadi faktor beliau daripada dipilih menerima anugerah berprestij ini.

Paling hampir untuk dia menerima anugerah tersebut adalah pada tahun 2006 di mana dia sekadar berada di tempat kedua, tewas kepada rakan sepasukannya iaitu Fabio Cannavaro.

About MyGooners 867 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment