Brendan Rodgers dan isterinya dijangkiti virus corona

Pengurus Leicester City Brendan Rodgers mendedahkan dia dan isterinya dijangkiti virus corona sebaik sahaja Premier League digantung, namun kini sudah sembuh.

Kedua-dua mereka menjalani ujian dan mendapat keputusan positif selepas menunjukkan simptom-simptom virus berbahaya itu.

PL telah digantung pada 13 Mac lalu selepas ketua jurulatih Arsenal Mikel Arteta dijangkiti virus tersebut.

Rodgers memberitahu BBC Leicester Sport: “Saya dan isteri telah mendapatnya sebaik sahaja musim digantung. Saya mula bergelut seminggu kemudian, saya tiada deria bau dan rasa.

“Saya tiada kekuatan, dan sangat bergelut, begitu juga dengan isteri saya. Saya menjalani ujian dan kami berdua mendapatnya. Saya hampir tidak boleh berjalan.

“Ia mengingatkan saya mendaki Gunung Kilimanjaro, semakin tinggi dakian semakin sukar kamu untuk bernafas. Berjalan 10 ela terasa sangat berbeza. Saya mahu pergi berlari, tetapi saya tidak mampu melakukannya.

“Saya rasa sangat lemah, tiada selera makan, dan mengalami sensasi pelik selama tiga minggu sebab tiada deria rasa.”

Kempen PL akan dimulakan secara sementara pada 17 Jun nanti, dan Leicester kini menduduki tangga ketiga dengan baki sembilan perlawanan lagi.

Be the first to comment