Gandingan Edu dan Cagigao dalam kisah menandatangani Martinelli.

Kisah dalaman bagaimana Edu Gaspar dan Francis Cagigao berjaya menandatangani bintang muda Brazil.

Arsenal telah bekerja keras di belakang tabir untuk menandatangani pemain muda Brazil, Gabriel Martinelli dan kredit harus diberikan kepada seluruh pasukan perekrutan yang berusaha membentuk semula cara The Gunners menguruskan pengambilan pemain.

The Gunners yang kita kenali semenjak dulu, tidak gemar dan jarang berbelanja besar bagi mendapatkan pemain.

Malah ketika era Wenger, slogan yang begitu klise dengan Arsenal adalah “kita tidak membeli bintang, kita mencipta bintang” dan ia begitu sebati dengan kita selaku penyokong The Gunners.

Falsafah yang dihasilkan oleh Wenger menjadi gaya Arsenal dalam melakukan urusan pembelian pemain.

Dan ia memberikan kesan kepada sebahagian penyokong yang nyata kecewa dengan polisi yang diamalkan Arsenal sepanjang tempoh tersebut.

Walaupun ada yang memahaminya mengapa Arsenal terpaksa bertindak demikian namun tidak semua mampu menerimanya dengan baik.

Menjelang musim-musim terakhir Wenger di Emirates, sesuatu yang jarang berlaku dimana Arsenal mula berbelanja mewah dan besar dalam mendapatkan pemain.

Bermula dengan Ozil pada tahun 2013 (£42.5juta), kemudian diikuti Xhaka pada 25 Mei 2016 (£30–35juta) dan terkini, Pepe (£72 juta) pada Ogos 2019, Arsenal tanpa segan mengeluarkan belanja besar dalam menandatangani pemain bintang, termasuklah Lacazette dan Aubameyang sebelum itu.

Namun hasil yang diterima masih belum terjawab walaupun menandatangani pemain bintang dengan harga yang tinggi.

Bagaimanapun kemasukan ataupun pengambilan Gabriel Martinelli bagaikan mengubah senario terakhir pembelian Arsenal.

Setelah berbelanja mewah untuk mendapatkan Pepe,Lacazette dan Aubameyang, The Gunners bagaikan kembali kepada slogan ataupun motto yang diasaskan Wenger – “kita tidak membeli bintang, kita mencipta bintang“.

Tetapi bagaimana The Gunners menemui Martinelli?

Pemain muda itu sebelumnya telah berlatih bersama Barcelona dalam tempoh percubaan di kelab itu dan turut pernah dikaitkan dengan Manchester United pada masa lalu.

Namun, Arsenal bukanlah muka baru dalam perlumbaan untuk menandatangani Martinelli setelah menggunakan jaringan pencari bakat mereka untuk mengenalinya sebagai sasaran perpindahan masa depan.

Setelah pemergian mengejut bekas pencari bakat Borussia Dortmund, Sven Mislintat awal tahun lalu, peminat The Gunners begitu terkesan dengan kehilangan pakar perekrutan yang disegani.

Bagaimanapun, kekosongan tersebut mula disini dengan Arsenal telah melantik bekas pemain tengah, Edu Gaspar sebagai Pengarah Teknikal baharu untuk bekerjasama dengan Pengarah Bolasepak, Raul Sanllehi dan Ketua Jurulatih Unai Emery (ketika itu).

Walaupun beliau pada ketika itu masih bekerja sebagai ketua koordinator pasukan kebangsaan Brazil, namun bekas pemain berusia 42 tahun itu hanya memulakan tugas secara rasmi di Arsenal pada 7 Julai 2019 dan ketika itu, beliau sudah pun mempunyai pengaruh besar dalam rancangan perpindahan musim panas lalu, iaitu membawa masuk Martinelli.

Namun sebagaimana penjelasan beliau dalam laporan ESPN, Edu menjelaskan dimana kerja-kerja untuk membawa masuk pemain muda Brazil itu bukanlah dilakukan secara bersendirian.

Malah ianya dilakukan secara berkumpulan.

Antara individu yang terlibat dalam kumpulan Edu adalah bekas pelatih akademi Arsenal, Francis Cagigao.

Francis Cagigao

Beliau (Cagigao) bersama Edu, difahamkan adalah tokoh utama dalam membuat perjanjian untuk membawa Martinelli ke utara London musim panas lalu.

Cagigao sebelumnya pernah bekerja sebagai Ketua Pencari Bakat Arsenal yang berpusat di Sepanyol dan mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan setelah berjaya membantu The Gunners menandatangani Cesc Fabregas, Santi Cazorla dan Hector Bellerin.

Malah beliau juga dilaporkan pernah mencuba untuk menandatangani Lionel Messi ketika pemain tersebut berusia 15 tahun.

Cagigao mempunyai hubungan kuat di Brazil dan terus mengawasi dan memantau perkembangan Martinelli, menyusun dokumen terperinci mengenai bintang Ituano itu serta turut sama pergi ke Amerika Selatan untuk memerhatikannya.

Dia dan pasukannya juga sibuk di pusat latihan kelab di London Colney, menilai remaja tersebut melalui analisis video secara mendalam.

Walaupun Martinelli tidak diharapkan segera tampil dalam pasukan utama ketika itu, namun Emery melihat potensi yang ada padanya dan menggunakannya dalam aksi persahabatan pra-musim pertama di Boreham Wood menentang Arsenal XI pada 8 Julai di Meadow Park.

Dan sekiranya Emery memutuskan untuk tidak membawanya dalam lawatan pra-musim kelab di Amerika Syarikat, Martinelli boleh kemungkinan akan beraksi untuk pasukan B18 kendalian Ken GIllards menentang Hitchin Town pada 27 Julai 2019.

Skuad pra musim Arsenal : Leno, Martinez, Macey, Bellerin, Jenkinson, Chambers, Sokratis, Mustafi, Holding, Mavropanos, Medley, Monreal, Kolasinac, Thompson, Maitland-Niles, Willock, Xhaka, Burton, Olayinka, Mkhitaryan, Ozil, Nelson, Smith Rowe, Martinelli, Saka, Aubameyang, Lacazette, Nketiah, John-Jules.

Selepas mempamerkan aksi mengagumkan di Brazil untuk saingan Campeonato Paulista (liga tertinggi peringkat negeri di Sao Paulo), peminat The Gunners begitu teruja untuk melihat Martinelli beraksi bersama Arsenal sebaik sahaja dia menyertai pasukan pada musim panas.

Lulusan akademi Ituano yang paling terkenal ketika ini adalah Juninho Paulista, pemain idola Middlesbrough yang turut pernah beraksi untuk Atletico Madrid dan sekarang merupakan presiden kelab Brazil tersebut, Ituano.

Juninho Paulista, bekas pemain Middlesbrough yang kini menjadi Presiden Ituano.

Ituano dan Juninho menilai Martinelli pada nilai €10 juta, walaupun The Gunners hanya menawarkan separuh dari jumlah itu dalam perbincangan awal.

Bagaimanapun bayaran sekitar £ 6 juta dikatakan telah dicapai dan dipersetujui oleh kesemua pihak dalam rundingan yang turut melibatkan ejen Martinelli, Marcos Casseb.

Walaupun Martinelli baru berusia 18 tahun dan tidak membuat sebarang penampilan bersama skuad senior Brazil, namun itu tidak menghalangnya daripada mendapatkan permit kerja kerana dia turut mempunyai pasport Itali.

Dan kelebihan tersebut menjadikan dirinya merupakan pemain pertama dibawah masuk ke Emirates dibawah pemerintahan Edu sebagai Pengarah Teknikal Arsenal.

Martinelli menikmati reputasi yang semakin meningkat di Brazil dan telah dianugerahkan Pemain Baru Terbaik Campeonato Paulista, Pemain Terbaik liga dan tampil dalam senarai Pasukan Terbaik Tahunan bagi saingan tersebut.

Pada bulan Mac 2018, dia melakar sejarah sebagai debut termuda Ituano ketika dia muncul sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-1 ke atas Sao Bento ketika berusia 16 tahun.

Martineli pertama kali bermain dengan pasukan futsal Corinthians pada usia sembilan tahun sebelum bergabung dengan pasukan Serie D Ituano pada tahun 2015, dan menandatangani perjanjian profesional pertamanya hanya 24 bulan kemudian dengan gol senior pertamanya dihasilkan ketika menentang Taboao da Serra, September 2018 dalam saingan Copa Paulista.

Ituano mara ke suku akhir pertandingan itu dan Martinelli mengakhiri saingan sebagai penjaring terbanyak kelab, dengan menjaringkan enam gol sepanjang laluan mereka untuk berada dalam lapan pasukan terbaik.

Dan sepanjang tempoh saingan tersebut, beliau telah dipantau oleh Cagigao dan Edu.

Martinelli kemudiannya diumumkan sebagai pemain Arsenal setelah dia berusia 18 tahun pada 2 Julai 2019.

Dan proses ini kembali mengingatkan kita dengan “Kita Tidak Membeli Bintang, Kita Mencipta Bintang“.

About MyGooners 905 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment