
Pertahanan muda sedia untuk bergabung dengan Arsenal lebih awal dari yang dijangkakan.
Arsenal mencapai persetujuan dalam perjanjian bersama Saint-Étienne untuk perpindahan William Saliba musim panas lalu dan pertahanan itu segera dipinjamkan ke bekas kelabnya selama satu musim.
Menurut RMC Sport, pertahanan tengah itu akan bergabung dengan The Gunners ‘lebih awal dari apa yang dijangkakan’ kerana tempoh pinjamannya di Perancis telah di ‘pendekkan’.
Ini kerana awal minggu lalu, LFP memutuskan untuk tidak meneruskan aksi Ligue 1 musim ini – 2019/20 setelah digantung sebelumnya ekoran krisis kesihatan global.
Liga Perancis – Ligue 1 dibatalkan. https://t.co/qvUjrH6O0A
— MyGooners (@MyGooners1886) April 28, 2020
Dan ini juga memberi peluang kepada pemain berusia 19 tahun itu untuk berpindah ke utara London lebih awal dan memulakan latihan bersama pasukan Mikel Arteta.
Sudah pasti ini akan memberi dia lebih banyak masa untuk mengenali rakan sepasukan barunya dan membuat persiapan terbaik untuk kempen seterusnya.
Namun, perlu diingat bahawa pemain pertahanan muda ini masih tidak dapat mewakili Arsenal lagi, sekiranya aksi Liga Perdana Inggeris 2019/20 disambung semula.
Saliba, musim ini bersama Saint-Étienne hanya membuat 12 penampilan sahaja (991 minit) dalam saingan Ligue 1 dan 17 penampilan secara keseluruhannya.
Kecederaan pada kakinya (metatarsal fracture) memaksa dia berehat lebih dari dua bulan sebelum kembali beraksi pada Januari lalu.

David Luiz, Sokratis Papastathopoulos, Shkodran Mustafi akan memasuki tahun terakhir kontrak mereka di Emirates dan jika Arsenal memutuskan untuk menjual salah seorang dari mereka pada musim panas ini, sudah pasti Saliba dapat mengisi kekosongan tersebut.
