Kalendar bolasepak tempatan bakal dirombak.

Gambar hiasan. Kredit Goal Malaysia.

Kalendar bolasepak tempatan bakal dirombak bagi memastikan skuad bolasepak kebangsaan (Harimau Malaya) mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak lama lagi untuk memastikan semua pertandingan termasuk Liga Premier dan Super serta Piala Malaysia dapat diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Saya tahu ramai yang meluahkan kebimbangan sama ada pasukan kebangsaan akan mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF.

“Oleh itu, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua pertandingan yang ditangguhkan sejak 16 Mac dapat diselesaikan sebelum November.

“Kami masih menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memulakan semula Liga Malaysia, September ini dan semoga dapat diadakan lebih awal untuk memberi masa yang cukup kepada Tan Cheng Hoe menyiapkan skuad terbaiknya untuk pertandingan itu,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Baru-baru ini, jurucakap AFF memaklumkan bahawa badan itu akan meneruskan kejohanan dwitahunan rantau ini walaupun berhadapan ancaman pandemik COVID-19 selepas mendapat maklum balas daripada semua anggota gabungannya.

Sementara itu, Stuart berkata pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal, tidak dapat mengikuti kem latihan pusat skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan tidak lama lagi disebabkan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 yang masih dilaksanakan.

Beliau, bagaimanapun, FAM akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu skuad bimbingan Brad Maloney mendapatkan khidmat Wan Kuzri bagi menghadapi Kejuaraan Bawah-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober ini, selepas kerajaan menarik balik sekatan itu.

Kehadiran Wan Kuzri, adik kepada pemain kebangsaan Wan Kuzain, bermain untuk Sporting Kansas City dalam Major League Soccer di Amerika Syarikat, diharapkan dapat meningkatkan peluang skuad B-18 layak ke Piala Dunia Bawah-20 FIFA 2021 di Indonesia.

Sebelum ini, pengurus pasukan skuad B-18 kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dipetik sebagai berkata Wan Kuzri telah menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi kebangsaan.

Kejuaraan B-19 AFC adalah kelayakan untuk Piala Dunia B-20 FIFA 2021 di Indonesia dan skuad B-18 kebangsaan berharap dapat menjadi pasukan pertama Malaysia yang layak secara merit dan tampil di pentas dunia.

BERNAMA

1Shares
About MyGooners 797 Articles
Seorang bercita-cita untuk menjadi pemilik Arsenal

Be the first to comment

Leave a Reply