Pawi lakukan pengorbanan besar demi kariernya.

Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mengambil masa panjang sebelum membuat keputusan memotong sebahagian jari kelengkengnya.

Sehari selepas pembedahan, Khairul atau lebih dikenali dengan julukan KIP berkongsi tentang dilema tersebut yang selama ini menghantui dirinya, sehingga mengganggu fokus ketika berada di atas litar.

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing berkenaan tersebut mengambil keputusan nekad apabila kecederaan di jari itu berulang pada Grand Prix (GP) Republik Czech awal bulan ini selepas kali pertama bahagian yang sama mengalami retak serius ketika menyertai saingan kelas Moto2 di sesi latihan bebas GP Sepanyol 2019.

Selepas kecederaan itu, Khairul Idham menjalani dua pembedahan bagi memperbaiki struktur jari dan menyaksikan dirinya terpaksa diketepikan daripada saingan kelas pertengahan sehingga musim 2019 melabuhkan tirainya.

Khairul Idham atau dikenali dengan julukan SuperKIP kembali menunggang dalam saingan kompetitif itu di GP Qatar awal Mac lalu dengan pelumba berusia 21 tahun berkenaan kembali menyertai kelas Moto3 – saingan yang kali terakhir disertainya pada 2016 dengan merangkul dua kemenangan di GP Argentina dan Jerman.

“Saya okey selepas pembedahan dan (keadaan) jari saya daripada tahun lalu, tak boleh bengkok kerana ada skru.

“Saya jatuh di Brno (GP Republik Czech), jari saya retak, jadi saya tak ada pilihan bagi masa depan.

“Bagi saya, sekiranya saya mengekalkan jari ini, kalau terjatuh atau berlaku apa-apa, agak mudah untuk ia kembali patah.

“Apapun, saya sudah berbincang dengan pasukan sebelum membuat keputusan ini

“Memang satu keputusan sukar untuk memotong jari saya tetapi demi masa depan, saya cuba yang terbaik bagi meningkatkan lagi keserasian (ketika menunggang).

“Seperti sebelum ini ketika jari lurus (tak boleh bengkok), saya selalu juga memikirkan sekiranya jatuh, tentunya akan ada masalah dengan jari itu. Jadi saya perlu sentiasa berhati-hati.

“Sekarang ini, saya harap tidak akan ada gangguan lagi pada jari dan saya akan berjumpa dengan doktor selepas ini untuk melihat keadaannya.

“Saya harap ia dapat pulih dengan cepat bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada latihan dan juga perlumbaan seterusnya di Misano nanti.

“Saya akan cuba yang terbaik dan ini yang terakhir bagi masalah jari dan harap selepas ini tidak ada lagi masalah untuk saya memberi tumpuan kepada perlumbaan,” katanya sebagaimana dipetik dari Berita Harian.

Sumber dan kredit : Berita Harian

466Shares
About MyGooners 797 Articles
Seorang bercita-cita untuk menjadi pemilik Arsenal

Be the first to comment

Leave a Reply