Safawi bakal ke Portugal?

Kredit foto: JDT

Pemain kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) jadi sasaran Portimonense SC.

Tahniah diucapkan kepada pemain bolasepak JDT, Safawi Rasid kerana berjaya mencuri perhatian kelab Portugal, Portimonense SC.

Menurut laman rasmi Facebook JDT, JOHOR Southern Tigers, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan di mana Safawi Rasid hampir pasti beraksi di Eropah selepas skuad Harimau Selatan menerima tawaran kelab dari Liga Portugal.

“JDT ingin mengesahkan kami telah menerima tawaran untuk Safawi Rasid dari Portimonense SC, kelab Liga Premier Portugal.

“Kami percaya tawaran itu baik untuk JDT dan Safawi, dan dengan itu kami bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran kerana rundingan akhir masih dijalankan,” kata Prest.

Pengumuman dan perkembangan itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat pemain itu setelah laporan pada November 2019 mendedahkan bahawa Safawi memasang impian untuk beraksi di Eropah.

“Memanglah dalam hidup ini, mungkin ini (tawaran) hanya datang sekali seumur hidup.

“Cita-cita saya memang mahu beraksi di luar negara dan kalau boleh, saya mahu beraksi di Eropah.

“Mana-mana kelab pun saya OK, asalkan ia sesuai dan mampu buka peluang lebih baik kepada saya dapat lebih banyak pengalaman.

“Apa pun, sebarang tawaran perlulah melalui JDT sebagai majikan saya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Dalam laporan tersebut, Serbegeth yang lebih dikenali sebagai Shebby mencadangkan kepada Safawi untuk berhijrah ke liga luar negara bagi memastikan prestasinya terus meningkat ke tahap lebih tinggi.

Mengulas lanjut pujian dan pendapat dibuat Shebby itu, Safawi akui yang dia seakan kelu untuk berkata-kata untuk menzahirkan keterujaannya.

“Saya ada baca dan saya pun tidak tahu macam mana mahu cakap. Apa yang boleh beritahu adalah ucapan terima kasih.

“Setiap kali diturunkan, saya tidak rasa begitu (tahap prestasi lebih baik berbanding bola sepak Malaysia) kerana setiap kali diturunkan, saya hanya fikir untuk fokus dan berikan sehabis baik selagi kudrat saya mampu.

“Saya mahu terus tingkatkan lagi prestasi untuk cuba tampil lebih baik. Saya cuba berikan apa yang termampu dan selebihnya, biarlah orang yang menilai,” katanya.

Dan dengan minat yang ditunjukkan oleh Portimonense SC, sudah pasti impian dan cita-cita Safawi bakal menjadi kenyataan.

Lebih-lebih lagi majikan beliau, JDT sendiri memberi keizinan untuknya berpindah.

Semoga terus maju Pawi!

Kredit foto : JDT
1Shares
About MyGooners 797 Articles
Seorang bercita-cita untuk menjadi pemilik Arsenal

Be the first to comment

Leave a Reply