Everton tandatangani James Rodriguez dari Real Madrid

Pemain bintang Piala Dunia 2014 ini berpindah ke Goodison Park dengan bayaran perpindahan £22juta dari Real Madrid.

Pemain berusia 29 tahun ini menandatangani kontrak dua tahun dengan tambahan pilihan untuk musim ketiga, dan kembali bekerjasama dengan Carlo Ancelotti buat kali ketiga, selepas pernah bermain di bawahnya di Bayern Munich dan Real Madrid.

Ancelotti menandatangani James dari Monaco semasa menjadi pengurus Real pada 2014, tetapi gagal menstabilkan dirinya di kelab gergasi Sepanyol itu, sebelum berhijrah ke Bayern dengan kontrak pinjaman dua musim pada 2017, yang pada masa itu dikendalikan oleh Ancelotti.

Dengan berbaki satu tahun lagi dalam kontrak Real, James dilihat sebagai pemain lebihan dari keperluan di Bernabeu oleh Zinedine Zidane.

James Rodriguez memakai jersi nombor 19 di Everton

“Saya sangat, sangat gembira untuk berada di kelab yang hebat ini, sebuah kelab yang mempunyai sejarah, dan di sini dengan seorang pengurus yang sangat mengenali saya,” katanya.

“Saya melihat ke hadapan untuk mencapai perkara-perkara hebat di sini, dan memenangi piala, yang menjadi sasaran semua orang.

“Saya tiba di sini untuk cuba menaiktaraf, untuk menjadi lebih baik. Saya juga datang ke sini untuk membantu pasukan menang, bermain bolasepak yang bagus – bolasepak yang menghiburkan.

“Saya yakin, dengan Carlo dan kakitangan teknikalnya, kami boleh mencapai sesuatu yang besar dan salah satu sebab utama [saya sertai Everton] adalah kerana adanya Carlo Ancelotti.

“Saya menikmati masa-masa terhebat dengannya di dua kelab sebelum ini. Ia satu sebab besar untuk datang ke sini.”

Dia menjaringkan 22 gol dan membuat 25 bantuan gol dalam 76 cap antarabangsa bersama Colombia sejak membuat debut menentang Bolivia pada Oktober 2011, dan menjaringkan gol pertama pada Jun tahun selepas itu menentang Peru.

Rodriguez menjadi pemain Amerika Selatan kedua sertai Everton dalam jendela perpindahan musim panas ini selepas ketibaan pemain antarabangsa Brazil iaitu Allan dengan kontrak tiga tahun.

0Shares

Be the first to comment

Leave a Reply