Laporan Perlawanan – The FA Women’s Super League: West Ham Women 1-9 Arsenal Women

Arsenal Women mencatat kemenangan kedua Women’s Super League musim 2020/21 dengan membelasah West Ham Women 9-1 di Stadium Chigwell Construction.

Perlawanan ini merupakan perlawanan percubaan pertama bolasepak profesional England melibatkan kehadiran penonton ke dalam stadium. Seramai 734 penonton yang hadir dan kesemuanya adalah pemilik pas semusim West Ham Women.

Senarai pemain Arsenal Women menentang West Ham Women

Jill Roord menjadi perbualan utama dalam perlawanan ini di mana dia sekali lagi menjaringkan tiga gol, kali kedua dalam dua perlawanan berturut-turut. Dia membuat hattrick ketika membantu Arsenal Women menang 6-1 ke atas Reading Women hujung minggu lepas.

Joe Montemurro menyenaraikan kesebelasan utama sama seperti perlawanan sebelum ini menentang Reading Women, cuma pertambahan pemain pertahanan Republik Ireland Katie McCabe di bangku simpanan.

Perlawanan bermula dengan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.

West Ham mempunyai peluang awal untuk membuka jaringan apabila Adriana Leon memotong hantaran bola Roord sebelum rembatannya berjaya ditepis penjaga gawang utama Arsenal Manuela Zinsberger.

Pemain pertahanan Arsenal Women dari Australia Steph Caitley terpaksa dikeluarkan, diganti dengan McCabe selepas mengalami kecederaan hentakan di kepala selepas bertembung dengan Grace Fisk.

Kemasukan McCabe membantu membuka peluang untuk Roord menjaringkan gol pertama perlawanan. McCabe membawa bola ke sebelah kiri padang sebelum menghantar bola separa rendah ke kawasan tengah gol yang pantas disambut oleh Roord.

Namun begitu, kegembiraan Arsenal Women tidak kekal lama..

Selepas terpaksa berhempas pulas menghadapi tekanan berterusan pasukan lawan, Arsenal Women akhirnya bolos empat minit kemudian.

Gagal mengeluarkan kemas bola hantaran pemain lawan ke dalam kotak penalti, dan bola itu disambut oleh Kenzia Dali, yang kemudian membuat percubaan dari luar kotak dan terkena bahagian belakang kapten pasukan Arsenal Women Kim Little, dan menewaskan Zinsberger. Kedudukan terikat 1-1 selepas 27 minit perlawanan.

Vivianne Miedema tidak perlu menunggu lama untuk mencatat nama sebagai penjaring gol. Pada minit ke-34, pemain sayap Inggeris Beth Mead membawa bola di sebelah kanan padang sebelum melorong rendah tepat ke laluan Miedema yang mudah menolak bola tinggi melepasi jangkauan penjaga gol.

West Ham Women terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas pemain pertahanan mereka Gilly Flaherty dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang.

Arsenal Women menggunakan kelebihan bermain 11 orang dengan menambah lagi dua jaringan sebelum rehat separuh masa menerusi Little dan Mead.

West Ham Women membuat dua pertukaran sebelum bermula separuh masa kedua bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kapten pasukan Flaherty.

Tetapi, percaturan mereka tidak menjadi seperti yang diharapkan kerana Roord menambah gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-52.

McCabe sekali lagi menjadi pencipta jaringan golnya selepas hantaran lintangnya dari sebelah kiri berjaya disambut Roord walaupun pemain antarabangsa Belanda ini berada dalam kedudukan offside.

Dua gol dalam masa empat minit menyusul selepas itu..

Minit ke-54, Miedema berjaya mengatasi asakan pemain pertahanan lawan sebelum merembat padu menewaskan Arnold, sebelum Roord melengkapkan hattricknya selepas mendapat hantaran bola Miedema dua minit kemudian.

Montemurro bertindak untuk merehatkan pemain-pemainnya dan membuat tiga penukaran sejurus selepas Roord menjaringkan gol ketujuh pasukan.

Danielle Van de Donk, Lisa Evans, dan Caitlin Foord dibawa masuk menggantikan Roord, Little, dan Mead.

West Ham terpaksa terus bertahan menahan asakan berterusan Arsenal Women yang diketuai oleh Miedema, namun tetap tidak berjaya menghalang bolos dua lagi goal.

Kekeliruan di dalam kawasan gol lawan menyebabkan bola mendarat tepat di hadapan Leah Williamson yang mudah merembat padu bola ke dalam gol walaupun di hadapannya dipenuhi dengan pemain-pemain lain.

Penyerang antarabangsa Australia, Foord menjaringkan gol terakhir Arsenal Women selepas menerima hantaran Evans dari sebelah kanan.

Keputusan akhir: West Ham Women 1-9 Arsenal Women

Kemenangan ini meletakkan pasukan Montemurro menerajui liga dengan enam mata dari dua perlawanan dan perbezaan gol yang tinggi.

Pemain Arsenal Women meraikan jaringan gol Jill Roord
1Shares

Be the first to comment

Leave a Reply