Jurgen Klopp yakin isu kontrak Georginio Wijnaldum tidak mengganggu prestasi permainannya

Kontrak Georginio Wijnaldum akan tamat pada musim panas tahun hadapan, dan pengurusnya tetap memuji pemain ini akan memberikan segalanya untuk kelab.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menegaskan isu kontrak Georginio Wijnaldum tidak membawa sebarang impak kepada perhubungan mereka, dan dia kekal optimistik dengan masa depan pemain tengah ini

Pemain antarabangsa Belanda ini akan tamat kontraknya pada musim panas lepas, bermakna dia boleh memulakan rundingan dengan kelab luar dari 1 Januari, dan perbincangan untuk melanjutkan tempoh masanya di Anfield telah menemui jalan buntu walau Klopp jelas mahu dia kekal.

Wijnaldum kuat dikaitkan dengan Barcelona dalam jendela perpindahan yang lepas tetapi masih banyak kelab lain yang berminat dengan seorang pemain yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool sejak tiga tahun lepas.

Penampilannya dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atalanta merupakan penampilan ke-201 Wijnaldum – hanya 28 penampilan sebagai pemain gantian – dalam hanya empat musim.

“Tidak banyak saya boleh katakan mengenainya. Saya akan gembira jika dia kekal di sini. Saya gembira bersama Gini dan kamu boleh lihat dalam setiap senarai barisan pemain,” kata Klopp menjelang jelajah pasukannya ke Brighton.

“Dia sentiasa bermain dengan baik, sebab itu dia bermain dalam jumlah permainan yang dia ada. Sejujurnya saya tidak ingat banyak perlawanan yang buruk.

“Dia banyak bermain di posisi-posisi yang berbeza untuk kami. Semoga ianya berterusan.

“Saya tidak tahu berapa banyak perlawanan yang dia bermain sejak saya berada di sini, tetapi ia bagus dan tiada yang lain untuk dikatakan.

“Selagi tiada yang diputuskan, segalanya mungkin. Saya positif.”

Wijnaldum menafikan laporan bulan lepas yang mengatakan dia hampir berpindah keluar ke Barcelona, tetapi menambah “kita akan lihat apa yang akan berlaku” apabila perjanjiannya tamat pada musim panas akan datang.

Klopp telah berdepan dengan situasi lebih kurang serupa berkaitan Emre Can pada musim 2017/18.

Pemain antarabangsa Jerman ini membuat 38 penampilan semasa kempen tersebut tetapi menolak tawaran kontrak baru dan berpindah ke Juventus secara percuma pada musim panas seterusnya.

Pengalaman Klopp bermakna pendapatnya mengenai Wijnaldum tidak akan berubah.

“Tidak ada masalah. Kami mempunyai situasi seperti ini sebelum ini – dengan Emre Can sebagai contoh,” tambahnya.

“Dia bermain dan memberikan segalanya sehingga hari terakhir kontraknya dan Gini akan melakukan perkara yang sama, tiada sangsi lagi.

“Tidak akan berlaku apa-apa dalam perhubungan kami selamanya. Gini merupakan salah seorang yang terbaik pernah saya jumpa dan salah seorang pemain terbaik pernah saya latih. Jadi langsung tidak ada isu.

“Kami adalah profesional. Hubungan kami tidak berubah saban tahun – malah semakin rapat.

“Kami memenangi satu dua perkara bersama. kami mengenali satu sama lain lebih baik. Saya berminat dengan kehidupannya, dia berminat dengan kehidupan saya, dan itulah yang berlaku, kehidupan saya tidaklah menarik sangat – tetapi itulah kebenarannya.”

Be the first to comment