“Tidak dapat difahami dan tidak berasas.”

Wenger pertikai keputusan Arsenal untuk menyifatkan Gunnersaurus sebagai bebanan.

Semenjak Arsene Wenger meninggalkan kelab, banyak perubahan berlaku dalam organisasi dan pengurusan Arsenal.

Dari pengurusan dan pihak belakang tabir, semuanya berubah dengan peranan pengurus dilupuskan dan digantikan dengan jawatan Ketua Jurulatih (era Unai Emery).

Namun peranan tersebut akhirnya dikembalikan apabila Arteta mula mengambil alih tugas tersebut.

Dalam menghadapi saingan musim baharu (musim 2020/21), dengan pergolakan akibat prestasi dan kontroversi pemain, situasi ini bertambah buruk dengan kehadiran wabak coronavirus.

Pun begitu, kita selaku peminat dan penyokong Arsenal setia memberi sokongan dan kehadiran Thomas Partey bagaikan menceriakan kita tatkala posisi tengah dilihat begitu bermasalah.

Namun tarikh 5 Oktober juga menyebabkan emosi kita bercampur apabila melihat pemain yang diingini sepanjang musim panas (Partey) sah menjadi milik Gunners sambil melihat Jerry Quy, yang lebih dikenali sebagai Gunnersaurus, diberhentikan oleh kelab.

Kedatangan pemain antarabangsa Ghana itu diterima dengan baik, kerana ia membawa kestabilan pada bahagian tengah yang sangat terkesan tetapi kehilangan maskot kesayangan kita adalah satu tamparan hebat, tidak kira sama ada dia diperlukan atau tidak dengan peminat tidak dibenarkan hadir ke stadium hari ini.

Jika sebelum ini Paul Merson pernah menghentam Arsenal kerana memecat Gunnersaurus, kini giliran bekas pengurus pasukan pula menyatakan kekecewaannya terhadap perkara tersebut.

Arsene Wenger nyata tidak menerima berita itu dengan baik apabila beliau yang kini dalam siri jelajah mempromosikan buku barunya, telah memberitahu So Foot dalam satu wawancara panjang pada hari Jumaat.

Kredit foto: So Foot

Ditanya bagaimana dia menerima keputusan kelab memberhentikan Quy pada hari yang sama kelab menghabiskan £ 50 juta untuk Partey, legenda Arsenal itu menjawab: “Sangat teruk.

“Keputusan itu tidak dapat dijustifikasi secara kewangan.

“Saya tidak tahu apa mereka fikirkan.

“Tiada seorang pun yang dapat memahaminya.

“Semua orang yang mencintai Arsenal tidak dapat menerima keputusan itu dengan baik.

“Saya sebahagian daripada mereka.

“Mereka memberhentikan 55 orang, yang mungkin dapat dijelaskan dengan penyusunan semula perkara tertentu, keinginan untuk kecekapan.

“Maskot tidak dapat dijustifikasi oleh keinginan untuk mengimbangkan semula kewangan.

“Tidak dapat difahami ”.

Petikan sebahagian laporan So Foot pada 6 November lalu.

Mesut Ozil sebelum ini juga menyindir kelab dengan bersedia untuk membayar gaji kepada Quy ‘selagi beliau menjadi pemain Arsenal’, namun itu tidak mampu mengubah keputusan kelab untuk ‘menyingkirkan’ seorang yang telah lama berada di kelab untuk tempoh selama 27 tahun dianggap membebankan.

Begitulah cara Wenger melihatnya dan begitu jugalah kebanyakkan peminat setia di Emirates dan di luar melihatnya.

Walaupun begitu, dilaporkan bahawa Quy akan menerima ataupun mendapat kembali pekerjaannya itu sebaik sahaja peminat dibenarkan kembali ke stadium.

Dan sekali lagi, tidak ada yang tahu bila perkara tersebut akan berlaku.

Laporan Daily Mail pada 10 October 2020.
About MyGooners 865 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment