Drinkwater sertai Kasimpasa secara pinjaman sehingga penghujung musim 2020/21

Bekas pemain antarabangsa England ini akan bermain baki musim ini di Turki selepas dianggap sebagai pemain lebihan di Stamford Bridge.

Chelsea telah meminjamkan keluar pemain tengah Danny Drinkwater ke kelab Turki Kasimpasa.

Drinkwater berpindah keluar dari England buat pertama kali dalam karier profesionalnya, dengan kelab Super Lig ini menyambarnya dalam perjanjian jangka masa pendek sehingga penghujung kempen 2020/21.

Pemain berusia 30 tahun ini tidak bermain untuk Chelsea sejak bermain dalam perlawan Perisai Komuniti pada 2018, dan pernah dipinjamkan ke Burnley dan Aston Villa dalam dua musim terakhir sebelum ini..

Dia kini perlu membantu Kasimpasa untuk mendaki tangga liga utama Turki kerana skuad bimbingan Fuat Capa kini sedang menduduki tangga ke-15 selepas 17 perlawanan.

Kelab Turki itu mengesahkan ketibaan Drinkwater dalam satu kenyataan dalam laman sesawang rasmi mereka, yang dibaca: “Pemain tengah Inggeris Daniel Noel Drinkwater, dari pasukan Liga Perdana Inggeris Chelsea, telah menandatangani kontrak yang mengikatnya sebagai pemain pinjaman kepada Kasimpasa sehingga penghujung musim.”

Drinkwater menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan £35 juta dari Leicester City pada musim panas 2017, selepas setahun membantu the Foxes memenangi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Dia juga memenangi Piala FA dalam musim pertamanya di Stamford Bridge, namun tidak boleh mengekalkan dirinya sebagai pemain pasukan utama.

Drinkwater, yang kontrak sedia adanya dengan the Blues hanya akan tamat pada 2022, hanya membuat 23 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam semua pertandingan untuk kelab setakat ini.

Bekas pemain remaja Manchester United ini menghabiskan separuh musim pertama dengan pasukan bawah 23 tahun Chelsea selepas dianggap sebagai pemain lebihan skuad oleh Frank Lampard, dan menurut Goal.com, dia dikatakan antara beberapa pemain skuad yang akan berpindah keluar sebelum pasaran perpindahan pemain Januari ditutup..

Fikayo Tomori dilihat sebagai pemain seterusnya yang akan berpindah keluar dari kelab, dengan AC Milan menjadi destinasi seterusnya.

AC Milan dijangka akan menandatangani pemain berusia 23 tahun ini secara pinjaman sehingga penghujung musim, dan mempunyai pilihan untuk membelinya dengan harga £25 juta.

Be the first to comment